11 Disember 2001 akan terpahat dalam sejarah politik dan demokrasi sebagai suatu lagi catatan hitam. Apa tidaknya, ahli parlimen paling muda kita, YB Fong Po Kuan (Batu Gajah) digantung daripada jawatannya selama enam bulan.

Kejadian ini tidak seharusnya dilihat daripada perspektif politik, sebaliknya kita wajar merenungi bersama sebagai rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat. Apakah kesalahan YB Fong sehingga dihukum sedemikian? Apakah yang telah diluahkan oleh beliau?

Sebagai seorang ahli dewan rakyat yang dipilih oleh rakyat, apakah salah beliau menyuarakan masalah rakyat? Apakah isu CLP bukan masalah rakyat? Jangan lupa, walaupun CLP hanya melibatkan bakal peguam, namun ia turut melibatkan kepentingan, keadilan dan hak rakyat jelata.

Alasan bahawa beliau terlalu muda dan perlu belajar daripada peristiwa ini adalah tidak masuk akal sama sekali (memetik kata-kata Dato' Napsiah Omar, MP Kuala Pilah).

Pada usia yang muda, YB Fong telah menunjukkan bakat dan kemampuan yang hebat dan terpuji sebagai seorang ahli parlimen. Malahan, beliau yang pernah diejek sebagai 'budak kecil' turut menunjukkan kematangan dan kewibawaan selama dua tahun di Dewan Rakyat.

Generasi muda yang bakal mewarisi sistem kepimpinan di negara ini perlu memiliki semangat dan jiwa raga YB Fong. Beliau adalah model pejuang masa depan. Sudah pasti pengundi Batu Gajah bangga dengan prestasinya selama ini.

Rakyat Malaysia patut bangun daripada peristiwa ini untuk menyokong dan membantu YB Fong yang kini hilang punca kewangannya.

Saranan pemimpin BA dan DAP bahawa mereka akan menyokong YB Fong baik dari segi moral mahupun kewangan, amat dipuji. Inilah dinamakan perjuangan sejati, susah ditanggung bersama.

Semoga peristiwa ini akan menyemarakkan lagi keprihatinan rakyat terhadap senario politik dan elemen demokrasi di bumi tercinta ini.