Tulisan ini bertujuan untuk membalas hujah dalam 'Ling must learn from Mahathir and Kit Siang' oleh BN Wee (Dec 10).

Penulis cuba membabitkan presiden Umno Dr Mahathir Mohamad dan pengerusi DAP Lim Kit Siang dalam kekecohan politik dalaman MCA. Ini adalah suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Malahan, tulisan tersebut cuba menonjolkan imej lemah-lembut dan bertolak-ansur presiden MCA Dr Ling Liong Sik berbanding dengan tindakan berani dan tegas Mahathir dan Kit Siang.

Memang diakui bahawa Mahathir dan Kit Siang merupakan ahli politik yang tegas, berprinsip dan bermaruah. Mereka disanjungi oleh kawan dan lawan. Rakyat Malaysia dari segenap lapisan sentiasa menantikan hujah dan komen mereka berdua terhadap sesuatu isu. Malahan, sejak Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981, kedua mereka boleh digelar sebagai ahli politik yang paling berpengaruh di bumi Malaysia.

Mahathir dihormati oleh rakyat daripada rakyat pelbagai kaum, walaupun beliau turut menjadi kecaman pelbagai pihak. Ketrampilan dan ketokohan beliau memang disanjungi. Beliau turut terkenal di peringkat antarabangsa sebagai jurucakap dunia ketiga.

Kit Siang juga tidak kurang hebatnya, pernah menjadi ahli dewan rakyat selama tujuh penggal berturut-turut. Beliau sangat disegani dan digeruni oleh seteru politik beliau. Pelbagai propaganda daripada media arus perdana yang cuba memburukkannya adalah bukti beliau sangat digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan. Sumbangan beliau dalam proses demokrasi negara ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Beliau cukup lantang di dalam dan luar parlimen.

Apa yang jelas adalah Mahathir dan Kit Siang adalah insan yang sangat luar biasa kehebatannya. Mereka memiliki suatu ciri yang tiada pada Ling, iaitu berani kerana benar! Mereka sangat berpengaruh, ini juga tidak dimiliki oleh Ling. Mereka tegas dan lantang dalam setiap hujah yang disuarakan, Ling juga gagal berbuat demikian. Mereka adalah dominan dalam politik Malaysia, tetapi Ling tidak berada dalam satu kelompok dengan mereka.

Janganlah kita pandai-pandai membandingkan intan dengan kaca, berbeza sangat. Ini hanya akan memalukan lagi kaca itu!

Tepuk dada, tanya selera, setakat mana ketokohan Liong Sik dalam masyarakat Cina, malahan dalam MCA sendiri? Cuba ambil ketua Pemuda MCA Ong Tee Keat dan bandingkan dengan Ling - siapa lebih diterima oleh rakyat Malaysia? Itu belum lagi Kit Siang, Kerk Kim Hock, Dr Koh Tsu Koon atau Tian Chua!