Tambahan pula, bagi negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia, pemimpin dipilih melalui pilihanraya. Pemimpin itu dipilih oleh rakyat. Dr Mahathir Mohamad mungkin sudah terlalu lama menjadi pemimpin, tetapi itulah kehendak rakyat.

Memilih dan menukar pemimpin berasaskan "sudah terlalu lama memerintah" ataupun "sudah terlalu kaya" adalah tidak bijak. Di Filipina misalnya, Presiden Fidel Ramos, yang telah memimpin Filipina dengan baik terpaksa berhenti daripada menjadi presiden kerana perlembagaan Filipina menghadkan tempoh seseorang memegang jawatan presiden kepada dua penggal sahaja. Disebabkan undang-undang tersebut beliau terpaksa meletakkan jawatan dan digantikan oleh Presiden Estrada. Kita semua tahu apa yang terjadi selepas itu.

Kenyataan Ramli bahawa "beliaulah (Mahathir) yang patut berhenti, kerana terlalu lama, terlalu berkuasa dan sudah tentu terlalu kaya" mempunyai unsur-unsur fitnah. Seseorang pemimpin itu tidak semestinya akan menjadi kaya setelah menjadi pemimpin. Jika sekiranya kekayaan seseorang itu dijadikan kriterea, ramai pemimpin di dunia ini yang tidak boleh menjadi pemimpin. Ini termasuk jutawan George W Bush dan Thaksin Shinawatra.

Jika penulis beranggapan bahawa pemimpin yang sudah lama menjadi pemimpin tentunya "sudah terlalu kaya" adalah juga mungkin tepat kita turut beranggapan bahawa pemimpin yang kaya atau sudah kaya tidak akan menjadikan "ingin menjadi kaya" sebagai agenda utama mereka.

Sebaliknya,seseorang yang belum kaya atau kurang kaya, jika dilantik menjadi pemimpin, mungkin akan menjadikan "ingin menjadi kaya" sebagai agenda utama mereka.

Pendapat yang diberikan oleh Tepak Bersulam ('Biar kita berani tegur pemimpin daripada pembangkang', Nov 28), iaitu untuk memberikan peluang kepada generasi baru untuk menjadi pemimpin dan untuk "meremajakan" semula Umno, ternyata lebih matang dan bernas.

Pemimpin yang patut berhenti http://www.malaysiakini.com/Letter/2001/12/2001120101.php3 Biar kita berani tegur pemimpin daripada pembangkang http://www.malaysiakini.com/Letter/2001/11/2001112804.php3