Perlantikan Agong hak mutlak Majlis Raja-raja
Penulis juga tidak faham mengenai peranan dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Di bawah undang-undang Malaysia, baginda tidak boleh mengarahkan mahkamah untuk membicarakan semula kes Anwar Ibrahim kerana ianya telah diputuskan oleh mahkamah. Sebaliknya, seseorang yang dihukum oleh mahkamah hanyalah boleh merayu dan memohon keampunan daripada Yang di-Pertuan Agung.
Di dalam sistem politik negara, kakitangan kerajaan dan Raja/Sultan sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Itulah sebabnya tampuk pemerintahan kerajaan negeri dan ahli-ahli Yang Berhormat mungkin bertukar setiap kali diadakan pilihanraya, tetapi kakitangan kerajaan dan raja/sultan kekal ditempat masing-masing.
Namun demikian, perkembangan politik tanahair baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem ini sudah mula disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Contohnya hampir kesemua kakitangan kerajaan di dua buah negeri yang diperintah oleh parti pembangkang bukan saja memihak, malah berkempen, untuk suatu parti yang tertentu. Amatlah menyedihkan jika sekiranya ada terdapat mana-mana pihak yang cuba mengherat raja-raja/sultan untuk sama-sama bermain politik.
Perenggan terakhir surat penulis juga mengandungi unsur-unsur biadab terhadap Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Apakah penulis cuba mengatakan bahawa Barisan Alternatif tidak mengemukakan usul mengenai Anwar semasa hayat Almarhum kerana Almarhum seorang raja yang pro-Barisan Nasional ataupun seorang raja yang tidak adil? Kenapakah Barisan Alternatif harus menunggu ataupun berharap agar Sultan Mizan menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan usul sedemikian?
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhum dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh, amin.

