PBS tidak berprinsip
Politik Sabah memang tidak pernah sepi dengan politik lompat-melompat. Hampir kesemua pemimpin politik di negeri bawah bayu ini pernah menyertai lebih daripada satu parti politik, malahan ada yang bertukar parti hampir setiap tahun seperti Datuk Jeffrey Kitingan. Terbukti politik di Sabah adalah berlandaskan kepentingan dan sentimen, bukannya perjuangan tulen.
Berbalik kepada soal PBS yang tidak berprinsip, setelah lebih 11 tahun meninggalkan BN, parti pimpinan Datuk Joseph Pairin Kitingan ini kini cuba 'mengetuk semula' pintu BN dengan permohonan yang disampaikan kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 15 November 2001.
Ini jelas memperlihatkan betapa kepimpinan PBS tidak sanggup hidup sebagai pembangkang. Mereka hanya dapat bertahan sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah selama enam tahun sahaja, kini mereka sudah berputus asa dan sanggup 'membina jambatan baru' untuk kembali ke dakapan Mahathir.
Jika diimbas kembali barisan pembangkang ketika pilihanraya umum 1990, Semangat 46 sudah lama terkubur, IPF pimpinan MG Pandithan juga masih terkial-kial meminta simpati Mahathir dan S Samy Vellu, Berjaya dan Hamim juga entah ke mana, kini PBS pula cuba menyeberang.
Yang masih bernyawa dan sanggup menghadapi cabaran hanyalah DAP dan PAS. Ternyata DAP dan PAS memiliki inti dan citra perjuangan yang tulen dan mampan, walaupun PAS pernah terpedaya dan menyertai Perikatan pada awal 1970-an.
Ternyata Pairin juga menyerupai adiknya yang kerap bertukar parti politik. Mereka bukanlah pejuang, bukanlah rakan seperjuangan yang boleh dipercayai. Pernyataan semula PBS ke dalam BN belum tentu menguntungkan BN, namun apa yang pasti adalah konflik dalaman yang melibatkan kepentingan parti-parti komponen BN akan bertambah.
Kemasukan PBS ke dalam BN, pastinya akan membuka ruang kepada parti-parti seperti DAP, PAS dan Keadilan untuk bertapak di bumi Sabah. Sejarah pilihanraya umum ketujuh pada 1986 pernah menyaksikan DAP membolot empat kerusi parlimen di Sabah. Apakah sejarah ini akan berulang? Tunggu dan lihat.

