Pandangan diberi seperti budak-budak
Kalangan yang menganggap bahawa Musa seakan mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada kerajaan mula menempelak. Paling terbaru ialah Presiden PAS Dato' Hj Fadzil Noor. Sikap beliau mengkritik Musa kelihatan begitu tidak profesional sementelah Suhakam adalah sebuah badan yang berada di satu titik yang tidak memihak kepada mana-mana pihak. Oleh kerana itu juga, kritikan beliau seperti memberi bola tanggung kepada Perdana Menteri Malaysia yang bertindak mengecam kenyataan Fadzil mengkritik Musa.
Sebenarnya, dua situasi mengkritik oleh Presiden PAS dan juga oleh Presiden Umno itu hanyalah bukti sifat kebudak-budakan mereka dalam memberi pandangan dan kritikan. Tindakan mereka seperti meludah ke langit.
Bayangkan jika Musa mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada pembangkang, sudah tentu Presiden PAS itu tidak akan bersuara malah menyokong sebaliknya Musa akan hanya mengundang kritikan bekas 'ketuanya' Dr Mahathir Mohamad. Ini dapat kita lihat dalam isu siasatan Suhakam terhadap keganasan polis sewaktu menangani isu perhimpunan di Lebuhraya Kesas tidak lama dahulu. Perdana Menteri mengkritik Suhakam dan Fadzil menyokong. Dan sekarang perkara sebaliknya berlaku. Siapa yang bersalah dan siapa yang harus dipersalahkan?

