Membaca catatan Pemerhati politik BA 'Rancangan hancurkan BA di mulai dengan pemuda Keadilan,' (Oct 17) menampakkan seolah-olah berlaku suatu pergolakan yang cukup mendasar sedang melakari arus perjuangan politik parti Keadilan.

Serangan berbaur politik secara mendadak berikutan perletakan jawatan Hamdan Taha jelas menyuratkan gelombang budaya politiking yang semakin melanda Keadilan, sebuah parti yang diberikan pengharapan yang cukup tinggi di kalangan rakyat yang mahukan nafas baru dalam budaya berpolitik tanahair.

Saya mengharapkan agar budaya politik baru yang lebih toleran, bersikap keterbukaan serta akomodatif dapat dijadikan sebagai prinsip asas dalam membentuk serta mematangkan Keadilan menghadapi seribu satu pancaroba.

Saya merasa sedih apabila nama pemimpin muda seperti YB Saifuddin Nasution dijadikan sasaran serangan berbaur politik sebegini semata-mata kerana beliau pernah menjadi setiausaha pemuda Umno di zaman Zahid Hamidi. Adakah dengan menyertai Keadilan, kita perlu bermusuh dengan semua orang? Adakah ini sikap yang ingin kita budayakan di dalam Keadilan?