Beberapa hari kebelakangan, semua media massa prokerajaan melaporkan Malaysiakini.com, laman web berita internet tempatan yang dijadikan sasaran Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

Pada hemat saya, kini jelas tugas sebenar Zainuddin (atau Zam) - baru dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad - iaitu sebagai jurubicara kerajaan, membelasah media yang difikirkan tidak memberikan keuntungan kepada Umno, sebagai parti pemerintah.

Sepatutnya Zam tidak perlu menggelabah apabila membuat ulasan terhadap portal berita internet itu, di depan kamera TV3 seolah-olah semua rakyat Malaysia sudah tidak membaca akhbar yang berselerak di pasaran.

Sebagai seorang wartawan berpengalaman, apakah Zam tidak terfikir dirinya sebagai pelopor akhbar pengampu kerajaan walaupun media cetak yang dipimpinnya dulu melaungkan logo 'penyebar fikiran rakyat.'

Zam tidak perlu mengharapkan Malaysiakini.com menjadi seperti Utusan Malaysia, atau Berita Harian, The Star atau New Straits Times kerana peranan yang dimainkan oleh akhbar web itu sebagai 'suara kedua' sentiasa dicari-cari orang ramai.

Lagipun, apa yang Zam perlu risaukan. Akhbar-akhbar yang beredar di pasaran sudah berpuluh-puluh tahun usianya. Tentunya mereka yang sudah biasa menatap media cetak tidak mudah beralih kepada portal berita internet.

Kalau keadaan itu berlaku juga, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Perkara ini memerlukan kajian tetapi jangan begitu mudah menuduh orang lain, sedangkan kita sendiri alergik (allergic) terhadap perubahan.

Tentulah ada yang tidak kena pada media cetak di negara ini. Sepatutnya mereka yang berpengalaman luas sebagai wartawan mempunyai strategi ampuh untuk berdepan dengan berita-berita yang disiarkan Malaysiakini.com - lagipun tidak begitu banyak berita yang diterbitkan saban hari.

Kredibiliti apa, Zam?

Mengapa tidak Zam, seorang wartawan yang pernah menulis buku mengenai Dr Mahathir bermuhasabah, mencari jawapan kepada sebarang pertanyaan: Apakah puncanya rakyat Malaysia semakin hari semakin tidak berminat membaca, mempercayai dan jauh sekali terpengaruh dengan hidangan berita daripada media cetak yang prokerajaan.

Bayangkan sebuah akhbar harian boleh menyiarkan berita kononnya seorang lelaki di Kuala Nerang, Kedah berkahwin dan bersanding dengan dua wanita serentak. Selang beberapa hari, cerita itu didapati bohong dan akhbar itu langsung tidak meminta maaf kepada pembaca di seluruh negara kerana laporannya itu. Sebenarnya kredibiliti apakah yang diperkatakan oleh Zam?

Begitu juga Utusan Malaysia yang pernah melaporkan di muka depan kononnya satu kem jubah hitam ditemui di hutan Baling, Kedah. Esoknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, supaya menafikan dakwaan akhbar itu. 'Kem jubah hitam' yang ditemui itu rupa-rupanya tempat pencari kayu gaharu berehat.

Sekali lagi, kredibiliti apakah yang diperkatakan oleh Zam?

Hakikat sebenarnya, tindak-tanduk seperti ini seolah-olah warisan ilmu yang sudah lama dipraktikkan dalam tradisi akhbar itu, membuat laporan 'melulu' tanpa sebarang siasatan.

Pengarang-pengarang yang bertanggungjawab juga menjadi 'tunggul' yang tidak boleh bertindak lebih daripada sekadar 'budak suruhan' dengan menyiarkan apa sahaja.

Hari ini, rakyat Malaysia bukan lagi mendapatkan maklumat dari akhbar harian perdana sahaja. Mereka turut membaca majalah-majalah asing dan tempatan yang banyak beredar di pasaran. Mereka boleh mempertimbangkan laporan atau berita semasak-masaknya dan bukan dengan 'menelan' apa-apa sahaja yang 'dihidangkan'.

Malaysiakini.com sebenarnya bertindak bijak apabila memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan. Suara-suara mereka terlalu sukar mendapat tempat dalam media massa propemerintah. Walaupun pandangan yang mereka sampaikan adalah perkara mustahak tetapi media propemerintah tidak melayannya sebagai 'bernilai berita' (news value).

Rakyat hakimi kredibiliti media

Hari ini, rakyat boleh membaca ucapan Perdana Menteri di akhbar-akhbar, selain berita radio dan TV. Tetapi selain itu, mereka juga boleh melayari laman-laman web berita. Bagaimanapun, bukan semua orang dapat melayari laman berita di internet kerana tidak semua mempunyai kemudahan teknologi maklumat berangkaian di rumah.

Berbeza dengan akhbar-akhbar harian yang lain, ia boleh sahaja dibaca secara percuma di pejabat, kedai kopi, lobi hotel dan tempat-tempat awam, termasuk papan akhbar di Bangunan Mara, Kuala Lumpur.

Jika laporan media perdana memuaskannya, rakyat akan mempercayainya tetapi jika tidak logik, rakyat akan cuba mendapatkan sumber lain untuk dijadikan ukuran. Cara ini tidak salah kerana mereka berhak membuat pertimbangan.

Seperti dakwaan Zam, malaysiakini telah meminta bantuan DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membersihkan namanya daripada kesangsian orang ramai, kononnya laman web itu terbabit dengan penyangak mata wang antarabangsa George Soros.

(Nota: Malaysiakini tidak 'meminta bantuan' daripada sesiapa seperti dakwaan itu - Editor)

Apakah Zam mahu malaysiakini dipertahankan oleh wartawan-wartawan seperti Zam yang suatu ketika pernah 'direhatkan' daripada Utusan Malaysia oleh Dr Mahathir sendiri, kemudiannya 'bercuti' ke luar negara, menyiapkan tulisan Mahathir di Sebalik Tabir dan kemudiannya dilantik semula di tempat itu, dilantik lagi menjadi Senator dan kini Setiausaha Parlimen?

Malaysiakini.com sering memberikan tempat kepada kenyataan-kenyataan parti pembangkang, kerana kenyataan mereka jarang sekali mendapat tempat yang adil dan wajar dalam media massa propemerintah. Sudah tentu parti-parti pembangkang ini menyedari kredibiliti Malaysiakini.com dan wajar dipertahankan.

Zam dulu pernah diambil tindakan undang-undang oleh dua pemimpin utama PAS berhubung satu tulisannya yang memberikan gambaran seolah-olah pengikut parti Islam itu menganggap pemimpin mereka sebagai 'nabi'.

Kes itu dimenangi oleh PAS. Apakah Zam masih mahu mendabik dada kononnya beliau seorang wartawan yang berwibawa, mempunyai kredibiliti dan memperjuangkan kebebasan?


SURIANI CHE ADNAN adalah seorang penulis bebas dan dulu kerap menyumbang untuk akhbar mingguan politik Eksklusif (kini ditutup oleh Kementerian Dalam Negeri)