Perihal kaum dan agama tidak harus diperalatkan
Memang tidak salah bagi penulis, yang beragama Islam, menyatakan pendapatnya tentang serangan tentera ke atas Afghanistan kerana Afghanistan adalah sebuah negara Islam. Akan tetapi, penulis seolah-olah lupa bahawa bukan sahaja perasaan umat Islam sahaja yang perlu dihormati sedangkan perasaan orang bukan Islam boleh dibelakangkan.
Penulis hanya bercerita berkenaan penindasan yang berlaku ke atas umat Islam sedangkan umum tahu penindasan berlaku di seluruh dunia, ke atas orang yang datangnya daripada pelbagai agama.
Apabila penindasan dan ketidakadilan berlaku, kita seharusnya mengecamnya tanpa mengira faktor kaum atau agama. Jikalau kita hanya menyokong orang Islam kerana kita beragama Islam, tidak perlulah kita mengharapkan pertolongan daripada orang lain yang berlainan agama. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak berfikiran sempit.
Serangan ke atas rakyat biasa Afghanistan adalah tidak patut bukan kerana mereka beragama Islam, tetapi kerana serangan tersebut adalah ke atas orang yang tidak bersalah.
Sudah tiba masanya orang Islam tidak mengasingkan diri mereka daripada dunia bukan Islam. Salah satu cara pengasingan yang paling ketara sekali ialah perbezaan Islam dan bukannya Islam. Kita selalu dengar perkataan "orang Islam" dan "orang bukan Islam", bukan sahaja di Malaysia tetapi di merata dunia.
Apakah kita pernah dengar "orang Buddha" dan "orang bukan Buddha"? Pernahkah orang Islam Malaysia, dengan sendirinya, pergi membantu orang yang berlainan agama di negara lain yang miskin dan teruk keadaannya?
Di Hong Kong dan Taiwan, begitu ramai rakyat biasa yang prihatin kepada orang miskin dan keadaann teruk di negara Afrika dan negara Islam lain. Mereka menderma duit, pakaian, makanan dan menghantar rombongan untuk mengkaji serta menolong keadaan di sana.
Apabila berlakunya "gempa bumi Taiwan" dan "banjir di India", berapa ramai umat Islam Malaysia yang telah menderma duit dan benar-benar bersimpati atas kesusahan dan penderitaan mereka?
Saya bukannya ingin menyoal cara fikiran orang Islam. Apa yang saya perhatikan ini benar-benar berlaku dan oleh sebab itu, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya jangan sekali-kali melihat kepada faktor kaum atau agama dalam membuat apa sekali pun.

