Surat saudara Shairul yang bertajuk, 'Perang sesama Muslimin salah', (6 Okt) menyatakan pendapatnya mengenai serba-salah komuniti Islam di Malaysia menyertai peperangan Presiden Amerika Syarikat George W Bush menentang Afghanistan telah menarik perhatian saya.

Penulis berkata bukannya mudah untuk mereka yang beragama Islam berperang sesama sendiri. Namun, dia lupa bahawa peperangan ini bukan diarahkan terhadap mereka yang beragama Islam tetapi terhadap pengganas-pengganas yang mempergunakan agama Islam sebagai alasan mereka untuk membunuh mereka yang tidak berdosa.

Selain itu, dari segi hukum agama Islam, bukankah toleransi satu amalan yang patut masyarakat Islam praktikkan? Jikalau itulah caranya pengganas-pengganas yang mengelar diri mereka sebagai orang Islam menegakkan keadilan untuk masyarakat Islam, ramai yang akan meragui ajaran Islam.

Di samping itu, saya juga tidak inginkan peperangan, bukan sahaja sesame umat Islam, tetapi juga sesama yang beragama lain.

Saya percaya setiap individu berhak hidup tanpa 'dibebani' oleh kebudayaan, kepercayaan dan agamanya.