Polis selalunya dianggap baik dan betul. Tindakan keras dan kejam yang dilakukan oleh polis jarang dilihat oleh orang ramai sebagai kejam dan ganas.

Sebaliknya jika orang lain yang melakukan kekerasan atau bertindak kejam, mereka akan terus dicop sebagai pengganas, penjahat atau militan.

Ekoran dari serangan berani mati ke atas bangunan WTC dan Pentagon di Amerika Syarikat yang menggemparkan dunia itu, tentunya sedikit sebanyak mencabar kewibawaan Amerika Syarikat yang sering mendakwa dirinya sebagai Polis Dunia.

Kalaulah benar orang-orang Palestine atau orang Arab yang melakukan serangan tersebut tentulah ianya seperti memberikan satu isyarat yang jelas kepada dunia umumnya dan Amerika Syarikat khususnya betapa selama ini rakyat Palestine atau Arab telah sekian lama teruk menderita menjadi mangsa senjata dan pengeboman rejim Israel yang didokong kuat oleh Amerika Syarikat itu.

Mati dengan cara membunuh diri sendiri adalah suatu ajaran yang bercanggah dengan Islam walau atas alasan apa sekalipun. Tetapi nampaknya para penyerang yang membunuh diri mereka sendiri dalam serangan itu seperti percaya kematian dengan cara itu adalah lebih bermakna atau lebih baik dari menghadapi mati kena bom dan ditembak oleh askar-askar Israel dari masa ke semasa tanpa berupaya untuk melawan di tanah air mereka sendiri.

Mungkin mereka merasakan dengan membunuh diri dalam serangan berani mati ini sekurang-kurangnya tidaklah mereka saja yang merasa derita tetapi turut juga dirasai oleh warga musuh mereka yang terdiri dari rakyat Israel dan Amerika Syarikat yang sering menjadi mangsa sasaran serangan itu.

Kita khuatir jika nilai atau ajaran yang salah ini terus menular menjadi budaya yang disanjung dalam masyarakat kelahiran penyerang-penyerang ini, sudah tentu ia akan menjadi satu ancaman dan begitu bahaya kepada masyarakat dunia yang bertamaddun yang menyanjung tinggi keamanan.

Jika tidak dibendung sudah tentu di masa depan kita akan melihat banyak lagi serangan-serangan berani mati seperti ini akan berlaku.

Dengan angkuh dan penuh emosional Presiden Bush berjanji akan bertindakbalas dan menghukum orang bertanggungjawab ke atas serangan itu. Dan kita semua tahu orang yang bertanggungjawab itu telah pun mati bersama-sama serangan tersebut.

Sebagaimana Bush ingin membalas dendam, siapa tahu mungkin juga penyerang-penyerang itu sanggup menggadai nyawa mereka dalam serangan itu adalah juga sebagai membalas dendam di atas kematian saudara mara mereka akibat mangsa kekejaman Israel dan Amerika Syarikat sendiri.

Selagi Amerika Syarikat memandang rendah kepada bangsa Palestine dan Arab, melihat mereka sebagai pengganas dan membantu rejim Israel melakukan kekejaman ke atas umat arab, selagi itulah masalah serangan berani mati ini akan terus berulang lagi, yang mungkin dalam berbagai bentuk yang tidak terduga oleh kita semua.

Sudah sampai masanya Amerika Syarikat sebagai negara yang didakwa paling demokratik patut juga mengamalkan sikap demokratik kepada negara-negara lain di dunia ini. Pandangan negara-negara lain juga perlu didengar dan difahami.

Apalah ertinya bercakap pasal perdamaian dan keamanan dunia tetapi dalam masa yang sama menghalakan muncung senjata dan mengenakan berbagai ugutan kepada negara-negara lain.

Suatu ketika dulu kita dapat melihat dengan jelas melalui kaca TV bagaimana mayat-mayat rentung rakyat Iraq yang tidak bersalah menjadi mangsa pengeboman tentera udara Amerika Syarikat. Amerika Syarikat yang dianggap Polis Dunia tidak pernah dipersalahkan dan dihukum dalam peristiwa tersebut.

Kini perbuatan Amerika itu seperti sudah terbalas dari peristiwa serangan ke atas bangunan WTC di Amerka Syarikat yang lalu.

Perbuatan kejam dan ganas tidak akan ada kesudahannya apabila kedua-dua pihak yang bermusuhan saling ingin membalas dendam. Yang menjadi mangsa ialah rakyat kedua-dua pihak yang tidak berdosa. Tidak ada jalan yang terbaik untuk menamatkan masalah ini selain dari kedua-dua pihak duduk di meja rundingan dengan azam dan keikhlasan yang tinggi untuk berdamai.

Kita memang rasa sedih dan simpati dengan mangsa-mangsa yang malang yang menjadi sasaran dalam serangan berani mati di WTC Amerika Syarikat yang lalu. Dan pada masa yang sama kita juga turut rasa simpati kepada rakyat Palestine dan Iraq yang menjadi mangsa bom dan senjata Israel dan Amerika Syarikat.

Sebagai manusia yang bertamaddun yang cintakan kedamaian dan keamanan, kita mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh mana-mana pihak pun, walau atas alasan apa sekalipun.

Memang kita memerlukan Polis Dunia untuk memastikan keamanan dunia ini terus berkekalan. Usaha Amerika yang sudi secara sukarela memainkan peranan sebagai Polis Dunia memang kita sanjung tinggi.

Tetapi polis dunia yang kita inginkan adalah polis dunia yang bersikap adil, bertindak mengikut undang-undang dan peraturan yang telah dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa, bukanya Polis Dunia yang bertindak menggunakan undang-undang sendiri.