Begitu menyayat untuk membayangkan ribuan mayat bergelimpangan tanpa jasad dan bangunan cantik yang tiba-tiba roboh menjadi serpihan debu. Itu adalah naluri keinsanan. Namun hakikat pertembungan peradaban dunia rasanya tidak perlu lagi diperkatakan dengan hati berat, atau bimbang dan sebal.

Ia telah berlaku sejak berkurun lamanya, bahkan berulangkali dalam sejarah. Bemula dengan era perang Greek-Parsi, Greek-Rom, Rom-Parsi, Islam-Rom&Parsi, Islam-Mongol, Barat-Islam, Barat-Jepun, Amerika-USSR (walau dlm bentuk dingin), semuanya adalah mewakili pertembungan peradaban yang sentiasa berlaku. Kita dapati dunia tidak pernah sunyi daripada pertumpahan darah secara tragik ini.

Siapakah masih dapat membayangkan jumlah ratusan ribu manusia rakyat biasa di bawah kaki kuda dlm perang Islam-Mongol, jika darah mayat-mayat itu disebutkan oleh ahli sejarah membasahi tubuh kuda-kuda tersebut?

Siapakah dapat melupakan pula sorotan video jutaan mayat-mayat tentera bergelimpangan perang dunia pertama dan kedua? Namun itu adalah hakikat yang telah berlaku, dan sesiapa yang realistik dengan tabiat manusia akan mengakui bahawa ia akan tetap berlaku juga bila-bila masa.

Peradaban-peradaban datang dan pergi. Dulu tak siapa menduga bahawa USSR akan jatuh seperti nyamuk terkena semburan Sheltox - jatuh dan tergelatak-geletak. Semua orang melihat Amerika begitu kukuh.

Sedangkan di dasarnya ia menjadi rapuh dalam segi-segi tertentu. Musuhnya begitu ramai. Walau pemimpin-peminpin semua negara mengucapkan Takziah, namun tiada siapa yang bersedia mempamerkan apa yang mungkin tersirat di hati.

Adakah negara-negara Islam sebegitu kasihan dengan tangan yang memainkan bonekanya -Israel- dibumi Islam? Adakah negara-negara sosialis telah begitu memaafkan? tanya Norriega, tanya Ghaddafi, tanya negara-negara Afrika yang telah lama tertindas.

Tanya semua negara-negara Dunia ketiga, tanyalah hati kecil mereka. Kasihan yang terbit hanyalah kerana kengerian membayangkan manusia rakyat biasa yang bergelimpangan darah.

Namun hidup ini tetap juga adalah pertembungan Peradaban. Peristiwa ini akan menjadi hanya sebuah catatan sebagaimana kisah di Bosnia dan Kosovo (adakah yang mati dalam tragedi ini lebih ramai dari peristiwa pembunuhan satu malam di Bosnia?).

Kita telah begitu malu untuk mengakui bahawa peristiwa Bosnia adalah tragedi antara Peradaban. Kita disogokkan bahawa semuanya itu -di Chechnya, Kosovo, Bosnia- adalah peristiwa dalam kerangka Negara Bangsa, atau dalam kerangka perang saudara. Kita malu-malu untuk berterusterang bahawa di sudut hati kita, ia adalah pertembungan Peradaban demi survival masing-masing.

Dan kita menjadi begitu bimbang bahawa peristiwa ini akan menjadi titik baru pertembungan secara terbuka yang akan 'membunuh' perasaan malu-malu itu, dan Amerika atau Barat selepas ini akan tanpa silu-silu bertindak terhadap sesiapa dengan atau berdasarkan hakikat pertembungan yang sememangnya dipegang di dasar hati mereka (dan kita juga). Tunggulah dan kita pasti melihat..