Saya sangat bersimpati dengan keluhan Amirah Shuhada dari Universiti Utara Malaysia yang menggambarkan betapa tertekannya pelajar di kampus itu ('Siswa mengeluh tekanan UUM', 6 Sept). Beberapa pemimpin pelajar, misalnya Mohd Rizal Anan, dikenakan tindakan tatatertib.

Mohd Rizal dikenakan tindakan itu semata-mata kerana berhujah dengan penulis kontroversi Utusan Malaysia, Astora Jabat ('Aktivis pelajar UUM tegur Astora Jabat digantung', 29 Mei). Tetapi pelajar itu dituduh "menghina UUM". Apakah tindakan itu adil?

Begitu juga dakwaan Naib Canselor UUM bahawa kertas kerja tentang jihad itu ke arah pergerakan bersenjata dan militan. Sedangkan pertubuhan yang menganjurkan seminar itu (di mana kertas kerja itu dibentangkan) telah menunjukkan dengan jelas bahawa kupasan itu wajar dan mengikut lunas-lunas Islam serta perjalanan sistem demokrasi. (JIM nafi hasut siswa UUM jadi militan, 28 Ogos)

Jadi, dalam kes ini, siapakah yang cuba berbohong?

Cara akhbar-akhbar membesar-besarkan isu ini juga mempunyai motif politik. Apakah melalui sekeping kertas kerja, beberapa pelajar dan pensyarah yang menghadiri seminar boleh dianggap militan?

Tentulah ada udang di sebalik batu kenapa akhbar-akhbar pro-kerajaan ini mendedahkan berita tersebut setiap hari.

Amalan seperti ini tentulah tidak sihat. Kampus seharusnya tempat belajar, mengkaji dan berbahas tentang penemuan-penemuan terkini dan juga perkembangan semasa. Kampus bukan tempat pegawai tinggi pentadbiran meraih markah untuk dipuji oleh Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan.

Oleh itu saya sangat bersetuju dengan pandangan presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM) yang membuat analisis bahawa semua isu ini diheboh-hebohkan agar orang ramai menyokong tindakan kerajaan mengetatkan lagi Akta Universiti dan Kolej Universiti. (Isu siswa dirancang untuk ketatkan Auku: MPPUPM, 6 Sept)

Ambil contoh kes kebakaran Dewan Tunku Canserlor di Universiti Malaya. Siapakah yang mula-mula sekali membesar-besarkan hal ini? Perdana Menteri sendiri dan para pemimpin Umno. Akhbar dan televisyen milik kerajaan saban hari melaporkan kononnya wujud 'pelajar militan' di kampus universiti itu.

Kononnya ada risalah yang menggesa kedatangan Perdana Menteri dipulaukan. Kononnya ada Varsiti 2001 yang dikeluarkan oleh persatuan pelajar UM untuk mengecam kerajaan. Tetapi apakah kesudahan isu kebakaran dewan DTC itu? Tidakkah Jabatan Bomba dan Penyelamat akhirnya membuktikan tiada perbuatan khianat wujud dalam kejadian ini.

Kenapa Umno dan Perdana Menteri sendiri tidak berani berterus-terang dan mendedahkan hasil siasatan itu? Sandiwara kerajaan ini terlalu mengaibkan kita rakyat Malaysia, hentikanlah!

Kini Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi Mara pula mengenakan pelbagai tekanan. Ketika pelajar sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan, pemimpin kerajaan dan akhbar-akhbar pro-Umno dengan megah membesar-besarkan isu yang kabur dan dibuat-dibuat.

Apakah tindakan ini adil kepada pelajar yang sedang menumpukan kepada peperiksaan?

Kerajaan menyangkakan tindakannya membuat syarat baru (kontrak akujanji) untuk kakitangan awam, guru, pensyarah dan pelajar akan berjaya memulihkan kedudukan Umno dan Perdana Menteri.

Tetapi rakyat tidak bodoh.

Lihat sahaja, keputusan untuk laksanakan sistem meritokrasi dan kontrak aku janji diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini.

Apakah hal ini urusan kerajaan atau hal-ehwal parti?