Merujuk kepada komen Dr Nasir Hashim ('Meritokrasi: PSM bantah pendirian PRM', Ogos 9) terhadap pendapat saya ('Meritokrasi sanggah Perlembagaan' Ogos 6), memanglah ideal sekiranya dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia ini tidak ada sistem kuota seperti yang diuntukkan di dalam Perkara 153(2) dan 153(3) Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan dalam kemasukan pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera ke universiti-universiti awam.

Sebagai gantinya, satu sistem meritokrasi diperkenalkan. Ini akan membantu mengurangkan rasa diskriminasi dikalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Bumiputera. Tetapi hakikatnya masyarakat kita sekarang ini tidak wujud dalam keadaan yang ideal.

Adalah diakui kemiskinan dan kemunduran berlaku dalam semua kaum, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Tetapi kerana penduduk Melayu dan Bumiputera merupakan penduduk yang ramai dari segi peratusan komposisinya dan kebanyakannya masih tinggal di luar-luar bandar yang mundur dan miskin,maka ketidakseimbangan antara kaum yang maju dengan kaum yang mundur, kawasan yang maju dengan kawasan yang mundur dan jurang kaya miskin berdasarkan antara kaum dan sesama kaum masih berlaku dan jurang itu masih luas. Ini adalah satu daripada kelemahan dan kegagalan dasar-dasar sosio-ekonomi Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Malaysia sejak Merdeka, 44 tahun lalu.

Kemiskinan dan kemunduran masih meluas di kalangan orang-orang Melayu di luar bandar dan juga di bandar, terutama di kalangan mereka yang tinggal di kawasan-kawasan sesak seperti penempatan peneroka-peneroka bandar serta setinggan.

Bagaimanapun ini tidaklah menafikan hakikat bahawa dalam masyarakat kaum-kaum lain seperti Cina dan India juga masih wujud kemiskinan dan kemunduran. Malah keadaan kemiskinan dan kemunduran di kalangan masyarakat India di sesetengah kawasan lebih buruk berbanding masyarakat Melayu.

Jadi adalah sesuatu yang adil untuk kita mempastikan supaya peluang-peluang pendidikan dijamin bagi semua golongan rakyat tanpa mengira kaum. Sokongan, dorongan malah jaminan perlu diberi terutamanya kepada golongan rakyat yang miskin dan mundur tanpa mengira kaum.

Jadi pendirian saya apabila menyuarakan bantahan terhadap cadangan meritokrasi yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya disalah tafsirkan oleh Dr Nasir Hashim, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Anuar Zaini Mohamed Zain dalam BeritaHarian, 29 Ogos berkata hasil kajian menunjukkan pelajar Bumiputera dari luar bandar merupakan golongan paling lemah sekali pencapaiannya.

Terdapat ratusan ribu pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera di seluruh negara yang kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan miskin dan mundur yang tiada prasarana pendidikan yang baik.

Bagaimana mereka itu hendak menghadapi sistem meritokrasi yang jika dijalankan secara mutlak boleh membawa kepada wujudnya sistem "survival for the fittest" yang hanya akan menguntungkan golongan yang kaya, berada dan menindas golongan miskin dan tidak berada.

Saya tinggal di sebuah daerah yang agak mundur dengan banyak kampung-kampung yang miskin penduduknya. Lebih sepuluh tahun hingga sekarang saya terlibat di bidang pendidikan dengan memberi bantuan bimbingan kepada pelajar-pelajar luar bandar, hampir kesemuanya Melayu.

Saya tahu apa yang saya cakapkan. Tentulah saya tidak patut digambarkan sebagai membangkitkan isu perkauman Melayu semata-mata kerana saya prihatin terhadap kemunduran orang-orang Melayu dan ingin membelanya seperti saya juga membela golongan miskin, mundur dan tertindas kaum Cina, India dan lain-lain sejak zaman mahasiswa saya hingga kini.

Sebenarnya, saya juga tidak bersetuju kedudukan istimewa Melayu termasuk dalam soal kuota kemasukan ke universiti disalahgunakan sehingga menindas peluang kaum-kaum lain yang layak dan berhak.

Malah jika kita baca dengan lebih lanjut Perkara 153(2) di dalam Perlembagaan terdapat ayat yang dengan jelasnya menyebut bahawa sistem kuota itu hendaklah dilaksanakan pada "suatu kadar yang difikirkan patut olehYang di-Pertuan Agong" (maksudnya kerajaan). Ertinya kerajaan mesti bersikap adil, telus dan ehsan ketika melaksanakan sistem kuota itu.

Saya tidak pasti apakah Dr Nasir Hashim akan bersetuju dengan saya bahawa dalam kita menangani isu sosio-ekonomi di negara kita ini, termasuk dalam soal-soal hubungan kaum dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, maka kita perlu seimbang dengan mengambil kira fakta sejarah dan realiti semasa.

Maksud saya hampir 500 tahun orang Melayu di Malaysia ini telah terjajah, sejak kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Negara kita ini baru merdeka 44 tahun. Dr Nasir Hashim harus berani mengaku bahawa sebahagian besar orang Melayu masih lagi miskin dan mundur. Kita perlu berlaku adil kepada mereka seperti kita memperjuangkan keadilan, persamaan dan kesaksamaan bagi kaum-kaum lain yang miskin dan juga mundur.

Saya tidak berasa malu dan tidak seperti mengemis jika saya berpendirian bahawa kedudukan istimewa Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu rakyat Melayu yang miskin dan mundur.

Sebaliknya saya membantah keras jika kedudukan istimewa itu digunakan untuk kepentingan segelintir golongan Melayu yang sudah kaya raya, golongan atasan atau elit serta kroni-kroni mereka seperti yang berlaku sekarang ini. Apa yang berlaku sekarang ialah kedudukan istimewa Melayu itu telah salah digunakan sehingga matlamat sebenarnya tidak dicapai.

Saya menghormati pandangan Dr Nasir Hashim dan ingin menambah bahawa kita semua perlu memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat miskin,mundur dan tertindas tanpa mengira kaum. Kita perlu bersangka baik dan menghormati teman-teman kita di kalangan orang-orang Cina, India dan lain-lain yang gigih menuntut persamaan, hak asasi dan keadilan untuk kaum masing-masing yang tertindas, miskin dan mundur.

Saya bersetuju dengan saranan Dr Nasir Hashim bahawa isu-isu yang sensitif dan kontrovesi seperti isu meritokrasi ini dibahas dan didebatkan secara terbuka supaya kita tidak hidup "Seperti katak di bawah tempurung".

Sebelum saya mengundurkan diri, perlu dijelaskan bahawa apa juga yang saya nyatakan dalam surat atau tulisan ini adalah pendirian peribadi saya sendiri. Saya tidak lagi memegang apa juga jawatan dalam Parti Rakyat, hanya sebagai ahli biasa.