Hidangan kebebasan berfikir
Secara peribadi, saya kurang gemar membaca ulasan filem yang semata-mata melabelkan satu-satu filem itu sebagai bagus, biasa ataupun buruk. Ataupun lakonannya cemerlang, sederhana atau sebaliknya. Bagi saya, penulisan sebegini adalah tidak jujur. Seharusnya disertakan alasan-alasan yang konkrit serta dicadangkan alternatif yang dikira wajar. Barulah pembikin-pembikin filem tempatan dapat belajar daripada kelemahan mereka.
Seperti penulis, saya juga berdebar-debar ketika hendak memasuki pawagam. Lebih-lebih lagi, dengan gimik penyertaan di beberapa festival filem antarabangsa. Namun, saya tidak sama sekali mengharapkannya seperti filem Braveheart, Crouching Tiger, Hidden Dragon mahupun Titanic. Jauh sekali filem Hindi berjudul Kuch Kuch Hota Hai. Adegan pertamanya terus membuatkan saya teringatkan karya Kevin Smith, The Clerk.
Dari Jemapoh Ke Manchestee bagai menghidangkan kebebasan berfikir kepada penonton. Sepanjang hampir dua jam, saya bukan sahaja dikerah untuk memikirkan apa rasionalnya sesuatu adegan itu, malah naluri saya juga dihambat untuk meramalkan kesinambungannya.
Semangat Yadi dan Mafiz yang berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke bumi bekas penjajah, meniupkan ransangan kepada muda mudi untuk berangan serta berani mencuba. Mungkin sesetengah orang melihatkan mereka ini sebagai golongan yang bodoh tetapi saya lebih tergerak untuk memandangnya sebagai sifat lurus kebanyakan remaja yang kadangkala pendek akal.
Saya kurang faham kenapa rata-rata orang boleh melihat segala-gala yang terkandung di dalam filem Inggeris bertajuk There's Something About Mary sebagai contoh, adalah relevan walaupun tidak logik. Mengapa tidak dengan adegan-adegan kereta terbang, gangster berbaju batik dan penjaga empangan yang kurang siuman? Mengapa bila tiba pada filem Melayu, kita terus menjadi tolol, malas berfikir dan tidak kreatif?
Saya tidak setuju dengan keputusan penulis yang menjeritkan kegagalan (atau kehilangan) pengarahan Hishamuddin dalam Dari Jemapoh Ke Manchestee. Pada hemat saya, perjalanan ceritanya adalah terkawal dan konsisten tanpa menjejaskan elemen kebebasan yang cuba dicanangkan.
Mungkin kerana itu, skripnya digarap dengan plot-plot yang sedemikian rupa. Teknik suntingan yang digunakan seperti gunting silang, cepat-cepat mengingatkan saya kepada filem-filem Shuhaimi Baba. Memang jarang kalau bukan tidak pernah, untuk melihat pembikin-pembikin filem seperti Z Lokman dan Datuk Yusof Haslam bermain dengan kepelbagaian teknik suntingan yang sedia ada.
Itu yang mampu saya ungkapkan kepada sindiran-sindiran yang dihidangkan kepada penonton. Selain kerajaan, pihak polis, kaum lelakilah yang acapkali dicucuk. Dan yang paling melekat di kotak ingatan ialah poster-poster seksi yang dicalitkan cat hitam pada anggota-anggota badan yang tertentu.
Sebelum ini saya juga seperti Abdul Rahman dan yang lain-lain. Jangan kata sebelah mata, tidak pandang pun filem-filem Melayu. Terima kasih kepada karya-karya seperti Perempuan, Isteri & ..., Amok, Sayang Salmah, Layar Lara dan Jogho yang memberi sinar kepada industri perfileman negara. Tidak sabar-sabar rasanya untuk menonton Kaki Bakar yang bakal ditayangkan pada 20 September nanti.
Namun tidak semua pendapat penulis saya tolak mentah-mentah. Satu perkara yang saya bersetuju dengan beliau ialah kos pembikinan filem ini, RM500,000 adalah agak mahal untuk sebuah filem seperti Dari Jemapoh Ke Manchestee.
Mungkin kita boleh mencuri masa barang seminit dua untuk memikirkan piawai yang dipakai oleh penganjur-penganjur festival filem luar negara dalam memilih Dari Jemapoh Ke Manchestee untuk menghiasi acara mereka.

