Kementerian Pendidikan "berdolak-dalik" dan menggunakan cara yang "agak keras" untuk menutup Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara, dakwa pembangkang hari ini.

Sambil menyifatkan tindakan kementerian itu satu "kesilapan besar," Pengerusi Biro Pendidikan Barisan Alternatif Dr Syed Husin Ali juga mendakwa ibu bapa pelajar sekolah itu tidak dirunding dengan secukupnya.

Beliau turut mendakwa terdapat segolongan pengelola dan pegawai pendidikan yang terpengaruh oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu untuk membangunkan kawasan berdekatan sekolah itu.

"Dalam suasana pemimpin kerajaan dan media arus perdana berkempen tentang perpaduan Melayu dan menuduh segolongan orang Tionghua sebagai pelampau dan menyerupai komunis, maka tekanan supaya sekolah itu segera ditutup semakin kuat," katanya dalam satu kenyataan kepada malaysiakini.

Syed Husin menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad menimbang semula tindakannya dan membenarkan SRJK (C) Damansara beroperasi kepada masyarakat sekitarnya.

Malaysiakini melaporkan walau sebahagian besar murid telah berpindah, beberapa penyokong sekolah itu terus melancarkan bantahan sejak beberapa minggu lalu. Mereka mengadakan beberapa siri perhimpunan di depan bangunan kementerian dan empat orang ditahan polis Isnin lalu dalam perhimpunan itu.

Mulai Selasa, kumpulan penyokong itu melancarkan kempen 'mogok lapar' setiap hari di depan beberapa bangunan pejabat ahli politik dan parti-parti MCA serta Gerakan.

"Sekiranya sekolah ini dibenarkan untuk diteruskan, maka segala ketegangan berunsur politik perkauman yang timbul daripada pertikaian mengenai kedudukannya (sekolah) akan dapat diredakan," katanya.

Kira-kira 60 pelajar masih meneruskan pembelajaran di sebuah bangsal dalam kawasan sebuah tokong, berdekatan SRJK (C) Damansara itu.