Merujuk kepada komen saudara Mohd Fauzi bertajuk "Kejayaan bangsa sendiri jadi bahan jenaka" (13 Ogos) tentang surat Fawzi Kasim, bertajuk "Rekod Bodoh Malaysia jadi bahan jenaka" (10 Ogos) berkenaan seorang DJ radio Emiriyah Arab Bersatu yang berjenaka tentang rekod bodoh seorang gadis tinggal bersama kala jengking.

Perlu diingatkan kepada saudara Mohd Fauzi bahawa surat Fawzi Kasim adalah hasil ciplak kepada satu artikel tulisan Haji Fudzail seorang kolumnis dengan Harakahdaily.com edisi seminggu yang lepas.

Saudara Fawzi Kasim hanya mahu menumpang nama dalam menulis artikel (jika beliau bukanlah Haji Fudzail) dengan menjadikan sesuatu yang di luar pengetahuan beliau sebagai satu bahan jenaka.

Saudara Mohd Fauzi sebenarnya tidak boleh menyalahkan penulis sebenar artikel itu kerana memperkecilkan kebolehan gadis tersebut mencipta rekod kerana penulis tersebut hanya mengungkapkan kebodohan bangsa Arab.

Bangsa Arab adalah satu bangsa yang tidak boleh menerima sebarang pembaharuan atau pun sesuatu yang bukan budaya mereka. Oleh kerana itulah mereka akan spontan mentertawakan sebarang kejadian yang mereka anggap pelik dan bukan daripada budaya mereka.

Saya pernah tinggal hampir enam tahun di negara Arab dan menyaksikan segala kebodohan ini dengan mata saya sendiri. Bukan setakat budaya yang berlainan sahaja bahkan mereka juga dengan mudah mentertawakan cara kita berpakaian atau pun bahasa kita bertutur.

Maka tidak peliklah jika mereka juga mentertawakan kebolehan seorang gadis tinggal bersama kalajengking kerana rupa bentuk kalajengking yang sebenar pun mereka kurang mengerti.