Formula meritokrasi menurut Nik Aziz
Pun demikian, saya yang datang dari keluarga Umno totok, mudah saja mengenepikannya. Saya masuk universiti kerana kuota yang kerajaan Umno peruntukkan. Tanpa kuota, saya akan jadi penoreh getah macam ayah. Lalu, saya terus sokong Umno dan bertanding pula atas tiket Tindakan Siswa Bersatu (TSB), kroni Umno di UKM.
Namun secara ikhlas, saya masih lagi tertarik dengan 'pemerintahan yang adil' iaitu tidak membezakan warna kulit. Secara jujur juga saya akui, saya tidak menemuinya dalam Umno. Saya cuma menyetujui sistem kuotanya kerana saya Umno totok (walaupun tidak pernah menjadi ahlinya). Selepas sekian lama mencari, Alhamdulillah, akhirnya saya temui jawapannya. Dari mana?
Dari mulut Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maaf. Saya bukan ahli PAS tetapi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepadanya kerana memberikan jawapan kepada satu persoalan yang sekian lama saya cari.
Kata Nik Aziz, "Dalam Islam, tidak ada hak istimewa untuk Melayu dan Bumiputera ke atas bukan Bumiputera. Yang ada ialah hak istimewa orang miskin ke atas yang kaya."
Justeru, izinkan saya menyambung pandangannya itu dalam kehangatan isu meritoktrasi di IPT. Cadangan pertama saya, jangan hiraukan cakap-cakap meritokrasi oleh Perdana Menteri dan pencacinya yang cuma pandai mengampu, mengangguk dan menjilat. Mereka semuanya mengarut. Cadangan kedua, laksanakan meritokrasi cadangan Nik Aziz.
Laksanakannya di IPT. Untuk IPTA, ambillah para pelajar miskin berdasarkan meritokrasi. Tidak kira mereka Melayu, India, Cina atau apa saja warna kulit, tempatkan mereka di IPTA berdasarkan merit. Bukankah IPTA dibina atas dasar keperluan sosial? Ia bukan bahan komersial ciptaan BN. Perlu diingat, bukan semua orang Cina kaya, bukan semua orang Melayu berada dan orang India amat perlukan lonjakan baru untuk menjadi bangsa berjaya.
Bagaimana pula dengan pelajar dari keuarga kaya? Jangan risau. Tempat mereka cukup luas. Dengan wang dan pangkat yang ada, mereka boleh bersaing untuk mendapat tempat di IPT swasta, hatta ke luar negara. Kasihanilah pelajar dari luar bandar dan dari keluarga kurang berada. Mereka tidak terdaya ke IPTS, apatah lagi ke luar negara sedangkan mereka amat memerlukan pendidikan.
Cuma itulah saja jalan yang dapat mengubah kehidupan mereka, dari generasi ke generasi. Kepada golongan kaya, janganlah berebut-rebut untuk merampas tempat dan hak golongan miskin. Saya percaya, jika meritokrasi cara ini dilaksanakan, masyarakat Malaysia akan menjadi lebih bersatu-padu, tiada lagi curiga mencurigai dan bantu membantu. Yang miskin mendapat haknya, yang kaya sedia menghulur tangan - tidak kira warna kulit mahupun agama.

