Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada malaysiakini yang telah menyiarkan artikel saya di bawah tajuk, "Meritokrasi Sanggah Perlembagaan" (6 Ogos) yang lalu.

Sebagai penjelasan, izinkan saya nyatakan di sini bahawa artikel itu adalah pendapat peribadi saya sendiri. Ia bukan pandangan dasar PRM. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap artikel tersebut. PRM tidak wajar dipersalahkan. PRM tetap berpegang teguh kepada pendiriannya yang mahu mengwujudkan sebuah masyarakat demokratik yang adil, saksama dan tidak berbau perkauman.

Kritikan saudara Dr Nasir Hashim, Pengerusi Penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM) lebih tepat ditujukan kepada saya, bukan kepada PRM. Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa saya secara peribadi, dan secara perseorangan yang bertanggungjawab terhadap artikel itu. Walaubagaimanapun saya menghormati pandangan yang berbeza.

Untuk makluman saudara, saya tidak lagi menjadi Ketua Penerangan PRM. Saya telah meletakkan semua jawatan saya dalam PRM, termasuk sebagai Naib Presiden dan ahli Jawatankuasa Pusat. Saya telah mengemukakan surat perletakan jawatan itu pada 6 Ogos lalu kepada Presiden PRM, Dr SyedHusin Ali.