Isu meriktokrasi yang menyelubungi negara selama lebih seminggu ini, telah dibangkitkan oleh seorang pemimpin Melayu sendiri.

Tindakan pemimpin ini kalau dilihat secara halus, lebih membayangkan kepada tindakan untuk menyelamatkan diri sendiri kerana diyakini beliau telah kehilangan kepercayaan oleh kaum bukan Melayu.

Beliau lebih rela menggadaikan Perlembagaan Negara yang diperjuangkan oleh Tun Abdul Razak, hanya semata-mata untuk menebus kepercayaan rakyat bukan Melayu terhadap dirinya sendiri.

Beliau berkeyakinan , dengan tindakan menghapuskan hak orang Melayu dalam sistem pendidikan, beliau akan berjaya meraih simpati daripada orang bukan Melayu sekaligus meningkatkan kembali populariti beliau di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Tindakan melaksanakan meritokrasi boleh menyebabkan berkurangnya pelajar Melayu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, sekaligus membantu beliau mengurangkan tekanan dari pelajar Melayu yang dilihat sekarang lebih pro-pembangkang.

Dendam terhadap pelajar Melayu seolah-olah terbalas dengan terlaksananya dasar baru ini yang akan berkuatkuasa pada semester akan datang.

Sokongan dari bukan Bumiputra dianjak manakala tekanan dari pelajar berkurangan. Inilah fenomena yang diidamkan oleh kepimpinan negara.

Kenyataan bahawa pencapaian akademik pelajar Melayu jauh tercicirberbanding pelajar bukan Melayu harus dibebankan kepada pemimpin itu sendiri yang telah membimbing dan mentadbir kerajaan selama 20 tahun.

Kegagalan pelajar-pelajar Melayu untuk bersaing dengan pelajar bukan Melayu harus ditudingkan kepada pemimpin itu sendiri.

Selama 20 tahun di bawah kepimpinan beliau, pelajar Melayu gagal bersaing dengan pelajar bukan Melayu. Persoalannya, adakah wajar untuk perlembagaan negara dipertaruhkan semata-mata kerana kegagalan beliau sendiri?

Meritokrasi membuka peluang kepada semua warga Malaysia tidak kira bangsa untuk menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi yang mana semua pemohonan mestilah mencapai tahap pendidikan yang telah di tetapkan. Ini bermakna peluang untuk pelajar-pelajar bukan Melayu telah disama ratakan.

Tiada lagi sistem kuota untuk pelajar melayu. Dengan terlaksananya meritokrasi ini, terbuktilah kepimpinan negara gagal untuk memelihara hak Melayu dan menjadikan Melayu itu sendiri sebagai sebuah bangsa yang dinamik dan berdaya saing selepas 20 tahun memerintah Malaysia.