Kini orang Melayu harus buktikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka tidak bodoh. Pemimpin Melayu dalam Umno juga mesti tunjukkan mereka tidak bodoh (sesuatu yang amat sukar dibuktikan).

Pemuda Umno tidak sokong dengan cadangan melaksanakan meritokrasi ke atas pelajar Melayu untuk memasuki IPTA. Tetapi adakah mereka mempunyai keberanian untuk menyatakannya dengan tegas kepada Dr M? Yang jelas Pemuda Umno rata-rata kelu untuk menyuarakan apa yang tersirat di hati masing-masing.

Dr M berucap dalam dewan penuh sesak dengan pemuda Melayu pada Perhimpunan Agong Umno, mencaci orang Melayu bodoh dan malas. Saya tidak salahkan PM, kerana para pemimpin Melayu yang patuh kepada beliau juga menunjukkan sifat yang sama. Yang mereka pentingkan ialah periuk nasi masing-masing.

Fikirlah masak-masak, para pemimpin Melayu, jika kerajaan membuat keputusan untuk meminda Akta untuk menghapuskan semua hak orang Melayu, memang mudah. Ini kerana di Parlimen, mereka yang mewakili ahli Parlimen kerajaan adalah orang Cina, apalagi dari puak pembangkang, sudah pasti mereka sokong sebulat suara. Mereka akan menggunakan peluang ini secara terbaik, kalau bukan untuk kepentingan politik parti, mereka akan menyokong untuk kepentingan politik perkauman.

Sebaliknya, jika kerajaan mahu tarik balik, tidak ada harapan lagi, kerana wakil Melayu dalam Parlimen tidak cukup majoriti.

Jika kerajaan BN fikir boleh harap sokongan dari kaum lain, macam kata Karpal Singh, "langkah mayat aku dulu".

Justeru itu, fikirlah berulangkali, para pemimpin Melayu, jangan biarkan politik perkauman menular sehingga memusnahkan sebuah negara yang kita bina bersama.

Lihatlah apa sudah jadi dengan pemimpin mahasiswa dan pelajar Melayu. Pada mulanya mereka sungguh bersemangat berdemonstrasi menyokong dan bersimpati dengan nasib bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tetapi mereka menjadi kelu apabila hak Melayu di IPT dicabar.

Itupun suara dari Pemuda Umno kurang lantang. Pernah Naib Ketua Pemuda, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzil bersuara, tetapi terpaksa diam selepas ditegur dalam kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

Inilah contoh orang Melayu yang berani tidak pada tempatnya, tidak tahu beri keutamaan. Mungkin ini adalah juga kerana kebodohan mereka yang memartabatkan diri sendiri sebagai pemimpin orang Melayu, politik dan pelajar. Ramai yang ada ijazah tetapi semangat patriotik Melayu kurang. Mungkin juga ada betulnya mereka berjaya memperoleh ijazah kerana berdasarkan kuota.

Saya hendak cabar semua orang Melayu, mereka yang menggelar diri mereka pemimpin atau mereka yang suka kena pimpin. Luangkan otak anda untuk berfikir. Hanya mereka yang berfikir sahaja akan nampak apa yang akan berlaku ke atas bangsa Melayu pada masa hadapan.

Mengapakah kerajaan meletakkan kesalahan dan ketidak sempurnaan ke atas bahu rakyat? Bukankah pemimpin yang sepatutnya memikul tanggungjawab di atas segala akibat keburukan, kesilapan dan kegagalan dalam melaksanakan perancangannya? Kerana mereka yang dipilih menjadi pemimpin yang merancang. Bermakna jika pemimpin membuat perancangan yang bodoh sudah pastilah hasilnya bodoh.