Saya mula merasakan tekanan kepada rakyat Malaysia yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN) semakin hebat dengan menggunakan keganasan fizikal dan mental terhadap penentang BN.

Awas dan berhati-hatilah bermain dengan api - apabila terbakar rumah seisi keluarga rugi. Saya yang cintakan damai ini mula berasa takut, takut rakyat yang menentang akan hilang sabar dan pertimbangan. Walaupun kekuatan fizikal berada di tangan pemerintah, bukan bermakna para pemimpin BN akan memperolehi kemenangan mutlak.

Sayang berjuta kali sayang, kalau para pemimpin kerajaan menggunakan emosi bukan pertimbangan akal yang waras dalam menangani penentangan rakyat. Ingatlah bahawa perkataan amuk hanya ada dalam perbendaharaan kata Melayu. Kalau mereka juga kehilangan kewarasan dan kesabaran, akibatnya negara ini akan hancur.

Tan Sri, Datuk Sri dan Yang Berhormat Datuk, semua senjata di tangan tuan. Maka janganlah biarkan rakyat menentang pemerintah. Kerajaan hanya ada satu pilihan, iaitu menggunakan peralatan yang sama untuk meningkatkan penentangan rakyat.

Sebaliknya, rakyat harus diberi beberapa pilihan agar semangat penentangan dapat disalurkan ke kawasan yang mampu dikawal oleh undang-undang. Tolong jangan beri rakyat satu pilihan, mereka berupaya membina satu bentuk penentangan yang terancang. Padah akhirnya, panjang dukanya nanti.

Saya, hanya sekadar mengingatkan, andainya para pemimpin tidak menyedari bahawa sifat lembut dan keras, tenang dan ganas, waras dan gila, dendam dan maaf dan lain-lain sifat positif dan negatif adalah sifat dimiliki oleh setiap manusia. Kalau kerajaan boleh lakukan tekanan yang tidak lagi tertanggung oleh rakyat, maka mereka juga berupaya bangkit melawan tanpa mengambil kira sengsara dan maut.

Tolonglah, jangan pertaruhkan kemungkinan ini dalam melakar dan mencatur politik negara.