Barisan Bertindak Melayu (BBM) menolak dakwaan bahawa kritikan segelintir ahli Umno dalam perhimpunan 'Tak Akan Melayu Hilang di Dunia,' Ahad lalu, sebagai tindakan memburuk-burukkan kerajaan dan Umno.

Ketua Penerangan BBM, Datuk Jamaluddin Abu Bakar berkata peserta perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu mengetahui bahawa penceramah-penceramah "tidak memburukkan mana-mana pihak."

"Saya tidak nampak apa yang diburuk-burukkan kerana ramai (penceramah) membuat general statement (kenyataan umum)," katanya kepada malaysiakini, mengulas reaksi pemimpin-pemimpin Umno yang kesal terhadap perhimpunan yang bertukar menjadi gelanggang politik.

Jamaludin menegaskan perhimpunan tersebut bukan perhimpunan politik. "Mana ada (kenyataan) yang memburuk-burukkan," katanya, dan meminta tuduhan itu dibuktikan.

Bekas exco Pemuda Umno itu menegaskan kebanyakan penceramah hanya melahirkan pandangan masing-masing. Bagaimanapun katanya lagi, pandangan ahli veteren Umno Tajuddin Abdul Rahman mungkin agak kritis apabila membangkitkan soal agihan kekayaan negara serta rungutan rakyat terhadap imej ahli-ahli kabinet.

"Kalau boleh belanja beratus-ratus ribu (ringgit), kita tidak pertikaikan. Putrajaya, MSC (Koridor Raya Multimedia), pembangunan jangka panjang (untuk) negara kita menuju era baru, teknologi maklumat, tetapi berilah perhatian yang sama kepada golongan petani, nelayan ...," kata Tajuddin dalam perhimpunan itu.

Penyelaras BBM Datuk Ibrahim Ali ketika dihubungi malaysiakini hari ini enggan mengulas dan memaklumkan satu sidang media akan diadakan pada Sabtu ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bagi menjawab reaksi-reaksi tersebut.

Sementara Jamaluddin mengulas kenyataan Tan Sri Awang Had Salleh yang mendakwa dirinya "keliru dan ditipu" apabila hadir berucap dalam perhimpunan itu.

"Apa yang dicakapkan (Awang) itu mungkin daripada laporan media. Saya perlu bercakap sendiri dengan beliau," kata Jamaludin, yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Ledang, Johor, mengulas laporan akhbar The Star hari ini.

"Saya tidak fikir beliau (Awang) begitu bodoh, kalau (beliau) ditipu, mesti (beliau) balik (meninggalkan majlis tersebut)."