Tindakan sewajarnya kepada pemimpin Umno yang mengkritik kerajaan dalam perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Melayu Ahad lalu diserahkan kepada pemimpin utama parti.

"Pendekatan saya biasanya (adalah) lembut tetapi pucuk kepimpinan mungkin mengambil tindakan tegas," kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya bentuk tindakan terhadap beberapa pemimpin Umno yang mengeluarkan kenyataan mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan dasar kerajaan ketika perhimpunan 'Tak Akan Melayu Hilang di Dunia' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). ([#1]Mahathir, Fadzil, Azizah bertanggungjawab kelemahan Melayu[/#], 4 Feb)

Antara mereka yang menyampaikan ucapan lantang termasuklah bekas Ketua Pemuda Datuk Suhaimi Kamaruddin, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim Ali, Ketua Bahagian Kuala Kedah Datuk Zakaria Said, bekas exco Selangor Datuk Mazlan Harun dan bekas Timbalan Ketua Pemuda Perak Tajudin Abdul Rahman. ([#2]Mahathir must listen more to grassroots: MAF leader[/#], 4 Feb)

Turut menyampaikan ucapan ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba dan Timbalan Menteri Penerangan Datuk Mohd Khalid Yunus.

Muhyiddin mengulangi kenyataannya semalam bahawa perhimpunan itu mempunyai matlamat yang baik untuk memupuk kesedaran tentang perpaduan Melayu tetapi "telah terlanjur".

"Setiap ahli perlu berfikir bahawa tindakan tersebut boleh menjejaskan pemimpin dan parti," katanya, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kepada wartawan selepas mesyuarat pasca-kabinet di kementeriannya petang tadi.

Muhyiddin menegaskan seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, ahli-ahli tidak mempunyai sekatan untuk mengkritik tetapi perlu menggunakan "saluran yang betul."

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam dilaporkan berasa kesal dengan tindakan BBM kerana menjadikan perhimpunan itu gelanggang untuk melepaskan geram dan rasa tidak puas hati terhadap Umno sendiri.

Terpulang kepada BBM

Bagaimanapun Muhyiddin menjelaskan terpulang kepada jawatankuasa BBM untuk mengakui kesilapan mereka sendiri.

Apabila ditanya hasrat PAS untuk memperluaskan skop perbincangan kepada isu perpaduan negara dengan Umno, beliau berkata "tidak mahu prasyarat itu dijadikan isu".

Katanya Umno tidak mempunyai masalah tetapi perlu membuat persiapan bagi membincangkan perkara itu.

"Kita nampak keseriusan kedua-dua pihak," tambahnya.

Sementara itu, menjelaskan laporan kabinet terhadap kawalan harga pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya baru-baru ini, Muhyiddin berkata kerajaan berpuas hati dan mencadangkan pelaksanaan peraturan tersebut diteruskan pada masa akan datang.

Beliau menegaskan bukan sahaja harga barang dikawal tetapi kerajaan akan memastikan supaya harga-harga barang di negara ini adalah stabil.