Sejak Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil Likas dengan majoriti besar, saya lihat malaysiakini seolah-olah tidak berminat langsung untuk menulis analisis kemenangan parti pemerintah itu.

Adakah ini kerana sikap memihak malaysiakini kepada Parti Keadilan Nasional? Laman berita ini sebelum ini tidak henti-henti memuat berita berkisar kepada pembatalan kemenangan BN terdahulu oleh Mahkamah Tinggi, hari penamaan calon dan kempen pilihan raya Likas. Ia menunjukkan laman berita ini lebih condong membuat laporan yang berat sebelah kerana jelas mengutamakan berita Keadilan saja.

Saya percaya kalaupun ada analisis terperinci mengenai kemenangan besar BN di Likas baru-baru ini, tentu ia akan berkisar kepada taktik kotor BN, pengundi hantu yang masih wujud, para penyokong Keadilan diganggu serta kempen sogokan wang.

Ingin saya buat teguran di sini bahawa malaysiakini sepatutnya perlu berlaku adil kepada BN dan harus menerima hakikat keputusan rakyat Likas dan Keadilan gagal untuk memikat hati rakyat Likas.

Tidak salah berlaku adil dan objektif dalam pemberitaan walaupun kadang-kadang ia pahit untuk ditelan.