Saya sentiasa mengikuti sebahagian besar artikel yang diterbitkan oleh malaysiakini untuk mengimbangi maklumat yang disajikan oleh akhbar-akhbar aliran utama. Bagaimanapun, saya ingin mengemukakan sedikit pandangan dari sudut etika kewartawanan berasaskan sedikit pengetahuan yang dipelajari dalam pengajian kewartawanan.

Secara teori, sarjana kewartawanan berpendapat wartawan dibahagikan kepaa tiga kelompok utama (dari segi etika) apabila menghasilkan berita.

Kelompok pertama, berpegang kepada prinsip-prinsip peribadi dan menulis bersandarkan pegangan tersebut tanpa mengira kesan sesuatu tulisan terhadap sesiapa. Golongan ini disebut 'absolutist'.

Ada pula golongan yang tidak mempunyai sandaran atau pegangan apa-apa serta sering dilabel wartawan 'anti-establishment'. Golongan ini termasuk dalam kelompok yang disebut 'antinomian'.

Kelompok ketiga dan paling ideal disebut golongan 'situationalist' - dalam keghairahan memancing perhatian pembaca, mereka turut memikirkan kesan tulisan mereka kepada persekitarannya.

Dalam konteks Malaysia, corak pemberitaan lebih wajar mengikuti aliran 'situationalist' yang mengambil kira sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama.

Di universiti, kami diajar - kalau menulis berita yang melibatkan kaum berbeza khususnya mengenai kejadian buruk, isu kaum itu tidak harus tekankan.

Misalnya: "Penyanyi popular, Cik X nyaris ditikam oleh seorang remaja lelaki Cina dengan sebilah pisau." Konsep penulisan berita yang betul hanya menyebut 'lelaki remaja' sahaja tanpa penekanan kepada bangsa remaja itu. Inilah etika namanya.

Dalam penulisan malaysiakini, aspek ini kurang dititikberatkan.

Sebagai contoh, "leaders of Muslim Abu Sayaf group", "the Muslim terrorist", "the Muslim fundamentalist", "the Muslim separatist", the "Muslim fanatics" dan segala bentuk label yang hodoh dilemparkan kepada orang Islam.

Perbuatan ini seolah-olah ingin menanam keyakinan dalam minda separa sedar pembaca bahawa orang Islam itu jahat dan agama itu menganjurkan kejahatan.

Setiap hari, segala bentuk jenayah juga dilakukan oleh mereka yang beragama lain di seluruh dunia ini tetapi kaitan yang menjijikkan ini tidak pernah dikembalikan kepada agama yang mereka anuti.

Oleh itu,malaysiakini harus bersedia melakukan perubahan paradigma dalam corak pemberitaan dengan mengambilkira sensitiviti kaum dan ugama seperti ini.