Pelajar antikerajaan atau kerajaan antipelajar?
Mengapa? Kerana mereka 'mengancam keselamatan negara', 'pelajar-pelajar sepatutnya menumpukan masa dan perhatian pada pelajaran', 'universiti tempat menimba ilmu, bukannya tempat berdemonstrasi' - begitulah antara pesanan (arahan, sebenarnya) daripada Perdana Menteri.
Apakah yang sebenarnya diinginkan oleh kerajaan daripada pelajar-pelajar? Jika hendak dikatakan kerajaan berharap agar generasi pelajar menjadi dungu dan kaku, dahulu kerajaan pernah berura-ura menjadikan aktiviti ko-kurikulum sebagai subjek yang membawa jam kredit dan akan diambil kira dalam pencapaian akademik seseorang.
Mungkin langkah ini sudah dilaksanakan di sesetengah kampus. Jika dikatakan kerajaan berharap universiti sekarang dapat melahirkan generasi mantap dan agresif yang bakal membawa negara ke tahap yang lebih tinggi, tidak pula kelihatan banyak usaha-usaha ke arah itu.
Lebih banyak kita lihat, kekangan dan sekatan terhadap pelajar, malah dalam isu ISA, pelajar terus 'dihukum' pula.
Pelajar diseru agar tidak antikerajaan. Adakah seruan ini wajar? Golongan pelajar memang mempunyai tanggungjawab untuk menimba ilmu, tetapi mereka tidak wajib menyokong kerajaan (perlu ditegaskan bahawa berdiri atas pagar bukanlah satu pilihan - sikap itu tidak membawa kita ke mana-mana).
Universiti bertanggungjawab menyediakan wadah untuk membina intelektual pelajar, dan selepas itu terpulang kepada mereka untuk menentukan haluan sendiri, sama ada menyokong kerajaan atau sebaliknya. Bak kata orang, mereka sudah besar panjang untuk membezakan antara yang baik dengan buruk. Kita bukannya berada di negara komunis (benarkah begitu?) - apabila pemikiran rakyat mesti ditentukan dan ditetapkan; tiada ruang untuk berfikir tetapi menerima bulat-bulat apa sahaja yang disogokkan oleh pemerintah.
Adakah pelajar tidak boleh antikerajaan kerana perlu mengenang jasa kerajaan yang menyediakan prasarana, kewangan dan peluang untuk pelajar menyambung pengajian ke peringkat universiti? Sekiranya beginilah corak pemikiran yang mesti dianuti, nescaya Nabi Musa tidak akan menentang Firaun kerana jasa Firaun sungguh besar - Nabi Musa membesar didalam istananya!
Akhbar-akhbar pula semacam mempunyai agenda untuk menghentam - bukan sahaja pelajar, malah tokoh-tokoh tertentu. Buat masa ini tentunya Naib Canselor Universiti Malaya, Dr Anuar Zaini Md Zain menjadi calon pilihan untuk juara dijadikan 'kambing hitam' tahun ini. Sementelah selama ini akhbar arus perdana menjadi lidah rasmi kerajaan, pastinya liputan untuk Dr Anuar adalah agenda kerajaan sendiri.
Apakah kerajaan mahu menyingkirkan Dr Anuar? Kita sudah boleh mengagak jawapannya daripada ulasan akhbar sendiri. Bukankah, pada firasat orang tertentu, Dr Anuar gagal mengawal sentimen antikerajaan di kampus itu?
Seperti yang dinyatakan di atas, Dr Anuar dan UM atau sebarang institut pengajian tinggi tidak perlu bertanggungjawab terhadap persepsi para pelajarnya.
Universiti hanya perlu memastikan pelajar tidak buta berdepan dengan fakta dan kebenaran, luas pandangan, kaya ilmu, idea dan pemikiran, dan selepas itu, semoga mereka tidak bisu dan gentar untuk menyuarakan hak.
Sekiranya pelajar mencapai semua itu di kampus tetapi bisu dan lesu, generasi seumpama itu boleh dikatakan kejayaan kerajaan sekarang tetapi kerugian negara dan generasi akan datang.

