Jangan amalkan politik maki
Bukan tidak boleh menunjuk ajar, malah banyak kebaikannya kalau kita berkongsi pandangan, tetapi apa yang dikesalkan - kritikan yang tidak bermakna, lebih-lebih lagi kalau datang daripada siswa.
Ada sesetengah siswa yang menampilkan imej luaran hebat. Apabila dipandang sekali imbas, kita sangkakan dia seorang intelek, tetapi apabila mulutnya dibuka, keluarlah kata-kata dan pendapat yang tidak setaraf dengan status dan lagak tuannya.
Apakah patut siswa yang dikatakan berilmu itu dengan lancar dan fasih mengeluarkan kata-kata kesat, memaki dan mencaci pemimpin negara? Seseorang yang tidak bersekolah boleh mencarut, mencaci dan menghina sesedap rasa.
Kalau tidak bersetuju dengan pemimpin-pemimpin, berilah pandangan secara membina. Sekurang-kurangnya, hormatilah orang lain. Kalau asyik memaki saja, pemimpin menjadi marah dan rakyat pula tidak faham butiran hujah pengeluar pendapat.
Apabila pandangannya tidak diendahkan, siswa berasa terhina kononnya mereka diperlekehkan. Maka, mulalah mereka mengangkat sepanduk dan membawa caci-makinya ke tengah jalan pula agar pengguna jalan raya tidak ada pilihan kecuali berhenti dan dipaksa mendengar.
Mengapa mereka harus menuduh yang bukan-bukan - dengan mengatakan ISA itu salah dan mendakwa si polan dan si polan pengkhianat bangsa yang menggunakan akta itu untuk memudahkan rompakan wang rakyat?
Begitu juga apabila siswa mengatakan si polan dan si polan itu 'setan' kerana mengkafirkan orang Islam yang lain. Tidak ada apa-apa diperjelaskan kepada kita supaya boleh difahami. Di manakah letaknya kredibiliti kenyataan-kenyataan siswa ini?
Entah apa malangnya nasib kita - bukan sahaja siswa yang muda belia itu yang bersikap demikian. Cendekiawan, ahli politik, malah alim ulama juga memilih kaedah cacian dan carutan yang lebih sensasi. Maka gamatlah suasana apabila diadakan pesta caci-mencaci, hasut-menghasut dan bertukar-tukar isyarat lucah.
Tetapi berapa kerat sangat pendengar dan pemerhati majlis-majlis seumpama itu yang endahkan perjuangan mereka? Ramai yang gemar mendengar dan melihat sahaja sebagai hiburan percuma. Jadi, ramai peminat jangan disalah sangka sebagai ramai penyokong.
Bertanyalah kepada diri sendiri. Kalau seseorang itu ada otak, apakah dia akan tertarik untuk memikul perjuangan yang berlandaskan maki-hamun yang tidak berasas?

