Sekali lagi penulis 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Layak Jadi PM, Khalid Jafri cuba membuat gempar dalam suasana politik negara yang sudah gawat apabila menulis dan menerbitkan buku terbarunya berjudul Tun Daim Penyangak Wang Negara.

Maka apabila media, terutamanya Internet, mencanangkan betapa buku itu mendapat sambutan berdasarkan pertanyaan yang mereka terima daripada masyarakat, maka timbul beberapa persoalan berhubung dengan sambutan hangat yang dikatakan tadi.

Persoalan pokok sekarang ialah apakah kita perlu membeli buku itu (harganya RM30) dan membacanya?

Kalau kita semak kembali sejarah dua atau tiga tahun lepas, maka 50 Dalil menjadi dalil yang membuktikan Khalid bukanlah penulis yang berwibawa dan mempunyai maklumat yang tepat sebagai penulis prolifik apalagi penulis politik.

Ini jelas kerana bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim telah diaibkan dan dibuang daripada kerajaan dalam keadaan yang hina seperti yang pernah dituduh oleh Khalid dalam bukunya.

Nampaknya Khalid mengulangi skrip yang sama, kali ini terhadap Daim. Maka sudah tentu beliau memakai modal dan teknik dan strategi yang sama yang beliau lakukan terhadap Anwar. Lihat saja buku ini dilancarkan, tepat ketika persidangan agung Umno, di mana pelbagai desas-desus timbul sebelum perhimpunan itu berkaitan sengketa Mahathir-Daim.

(Nota: buku ini baru diedarkan sekarang, bukan ketika perhimpunan agung Umno - penyunting)

Khalid telah melakukan pembohongan sebelum ini dalam bukunya 50 Dalil, maka kita tidak harus memberi ruang yang luas untuk beliau menyebarkan dakyah untuk kesekian kalinya.

Selain itu, kerja yang dilakukan sudah tentu untuk tujuan dan matlamat tertentu - semua orang dapat mengagaknya.

Soalan untuk Khalid, apakah Daim saja yang menyangak wang negara?

Justeru, buku itu seharusnya diboikot di pasaran sebelum orang ramai membeli dan membacanya. Lebih baik wang tersebut digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah.