Sindrom 'yes tuan' Umno
Mereka ini lebih suka kepada membodek dan mengikut saja tanpa mengetahui hala tuju tuannya. Senario seperti ini amatlah menyedihkan dan sekaligus mencerminkan ahli Umno layak menjadi budak suruhan dan pak turut tanpa mempunyai keberanian untuk mendirikan prinsip pegangan masing-masing.
Perkara seperti ini yang telah menjadi amalan ahli-ahli Umno sejak zaman Mahathir-Musa berakhir pada era akhir 80-an.
Kalau dihimbau sejarah, apa yang terjadi pada zaman itu nyatalah kesan daripada kekerasan kem B untuk tidak menyenangi sindrom 'yes tuan' berleluasa. Amatlah penting untuk kebangkitan parti agar seorang pemimpin yang mempunyai sikap seperti Shahrir Samad ada dalam setiap individu yang menjadi ahli Umno.
Seorang ahli perlu mempunyai sikap kritis bagi memangkin pembangunan parti sekaligus negara. Shahrir sendiri adalah antara mereka yang menentang gejala ini daripada terus membelenggu parti kesayangannya.
Nama-nama seperti Musa Hitam, Ajib Ahmad amat sinonim dalam penentangan ini. Mereka ini amat kecewa dengan apa yang berlaku dalam Umno.
Buktinya, mereka ini terus memadamkan bara politik mereka, kerana percaya sindrom 'yes tuan' tidak akan luput dalam parti terbesar di Malaysia ini.
Telahan mereka ini benar belaka, setelah dekad berlalu, keadaan masih serupa. Tiada anjakan paradigma yang ketara dalam sistem pemerintahan parti dan negara khususnya.
Malah yang lebih menyedihkan lagi rakan-rakan seangkatan semasa penentangan seperti YB Dr Rais Yatim, Sheikh Fadzil, Ku Li, Dr Ibrahim Ali dan beberapa nama lagi telah bersama-sama turut serta menyertai raptai memusnahkan parti.
Mereka ini sepatutnya mengikuti langkah Shahrir Samad, kembali menyertai Umno dan cuba membetulkannya dari dalam. Seumpama pepatah Inggeris 'If u can't beat them, join them'.
Tindakan Shahrir jelas menunjukkan semangat dan cintanya kepada parti. Tidak seperti Dr Rais Yatim dan Ibrahim Ali yang tanpa rasa segan, malu dan dayus untuk kembali bersama menyertai golongan memuji dan menurut perintah Mahathir.
Mereka berdua ini kalau dilihat antara orang-orang yang bersuara lantang menyetujui semua tindakan kepimpinan untuk kepentingan peribadi dalam parti. Mereka ini orang-orang yang gusar jika tidak mempunyai pangkat di dalam parti.
Jika tidak secara terang-terangan memuji Mahathir, mereka akan terpencil dalam Umno. Oleh itu, tanpa perasaan aib dan malu, mereka melaungkan kata-kata pujian dan persetujuan dengan segala tindakan Mahathir.
Tindakan mereka membakar jambatan bersama Umno pada tahun 1987 dahulu, jelas cenderung untuk menentang Mahathir. Sekarang mereka dilihat seolah-olah kembali berpaut kepada Umno dengan harapan dapat menjawat peranan penting dalam parti itu, setelah cubaan bersama kem B menemui kegagalan.
Secara tidak langsung membuka tembelang tujuan perjuangan mereka pada akhir 80-an. Ini amat berbeza bagi Shahrir, beliau jelas menyokong perjuangan parti tetapi masih memajukan pendirian serta berani memberi komen yang membina bagi kepentingan parti.
Pujian patut diberi kepada Shahrir, walaupun hebat mengkritik kepimpinan namun beliau masih popular di kalangan ahli-ahli parti. Beliau masih mendapat sokongan untuk menjadi ahli Majlis Tertinggi.
Bukti ini menjadi harapan kepada semua warga Umno yang inginkan perubahan kepada parti. Jelas menunjukkan ramai dalam parti berkesedaran akan pentingnya perubahan dalam pucuk pimpinan Umno. Jumlah itu cukup untuk meletakkan Shahrir sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno.
Pastinya akan ramai lagi mengikut tindakan Shahrir jika ketelusan masih tidak menjadi ideologi pemimpin. Tindakan Shahrir jika dihalusi, merupakan sinar perubahan yang akan dikecapi oleh lapisan Umno baru.
Jika ideologi 'yes tuan' terus menghantui parti, pemimpin yang baru tidak akan dapat diperolehi. Kesemua yang ada sekarang jelas adalah mereka yang takut kepada tekanan.
Umno dan negara pastinya tidak mahu pemimpin yang takut dan tunduk kepada sesiapa. Pemimpin yang baik mestilah yang berani menyuarakan pendirian dan menanggung risiko terhadap segala tindakan.
Marilah bersama-sama kita membetulkan Umno yang dicintai dan memberhentikan sinambungan yang berlaku sekarang. Shahrir hero anak muda, harapan bangsa dan sinar kecil ke arah perubahan.

