Laporan malaysiakini tidak tepat
Sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional, saya tidak pernah memberitahu bahawa saya pernah mendengar khabar-khabar angin berhubung dengan adanya kegiatan melobi secara haram. Istilah melobi secara haram ini pun suatu yang tidak dapat ditakrifkan dengan sewenang-wenangnya.
Sebagai sebuah parti politik yang menjunjung nilai-nilai demokrasi, Keadilan tidak pernah menghalang ahli-ahlinya untuk mengambil sebarang pendirian, termasuklah bersetuju atau tidak dengan percantuman Keadilan-Parti Rakyat Malaysia. Oleh itu Keadilan tidak menganggap mana-mana ahli yang tidak bersetuju atau menentang percantuman itu sebagai satu perlanggaran disiplin parti.
Saya berharap pihak malaysiakini akan menyiarkan penjelasan ini, untuk mengelakkan salah faham tentang amalan demokrasi dalam parti. Keadilan menghormati perbedaan pendapat dan pimpinannya tidak akan menekan mana-mana pihak yang tidak menyokong sebarang usulnya.

