Faktor kemiskinan harus dipertimbang
Saya, presiden Warga Warisan Melayu Muda (Wawasan) Kolej Aseania di Universiti Utara Malaysia, kurang bersetuju dengan cadangan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad untuk memansuhkan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) empat peratus sekiranya seseorang mahasiswa itu mencapai keputusan kelas pertama.
Kadar ini harus dihapuskan semua sekali tidak kira seseorang itu mendapat kepujian kelas pertama, kedua ataupun kelas ketiga. Ini adalah untuk membela kebajikan pelajar secara lebih adil. Faktor kemiskinan pelajar harus diambil kira sebagai faktor yang utama selain faktor keputusan akademik. Pelajar yang mendapat kelas kedua atau ketiga pun tidak semestinya bukan seorang pelajar yang cemerlang dan tidak menyumbang kepada pembangunan universiti.
Sekiranya kadar ini dihapuskan maka 'haprak-haprak' Melayu yang masih belajar sekarang ini akan kembali menyokong perjuangan parti Umno. Sukar untuk mereka mengubah fikiran mereka supaya menyokong Umno sekiranya mereka sendiri tidak nampak apakah sumbangan yang Umno berikan kepada mereka sendiri.
Semoga dengan penghapusan terus kadar faedah ini akan membuka mata mahasiswa 'haprak' ini menjadi mahasiswa yang berguna.
Mahasiswa yang selama ini menjadikan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai nadi perjuangan mereka akan kembali menjadikan pertubuhan bukan kerajaan lain sebagai nadi perjuangan mereka.
Setidak-tidaknya mereka mulai merasa diri mereka dihargai oleh kerajaan yang memerintah sekarang ini kerana sudi mendengar rungutan mereka. Malah isu ini harus diselesaikan secepat mungkin bagi membuka lembaran baru bagi pemimpin-pemimpin mahasiswa membincangkan lebih banyak lagi isu yang perlu diperdebatkan.
Isu pencapaian akademik orang Melayu dan pembangunan sahsiah pelajar juga adalah antara beberapa isu yang kini menjadi semakin kronik lagi sekiranya tidak diambil peduli langsung.

