Satu rahsia PM pulihkan sokongan
Rakyat Malaysia hari ini diperbodohkan dengan amat hina oleh tindakan dua orang yang amat berpengaruh di Malaysia.
Kedua-dua individu ini sedang bergelut dengan tuduhan terhadap penglibatan mereka dalam jenayah keji.
Walaupun bukti-bukti dan jalan cerita membayangkan ada unsur-unsur penglibatan mereka tetapi pengolahan cerita-cerita sampingan dan perlumbaan mendapat sokongan daripada sebahagian besar rakyat yang secara fanatik memberikan sokongan sedikit sebanyak memberi harapan kepada dua individu ini.
Pilihan yang ada pada rakyat ialah memberikan sepenuh kepercayaan kepada perdana menteri.
Kami, rakyat bersetuju untuk tidak lagi mempercayai blog-blog dan laman-laman internet yang dianggap sebagai pengkhianat tetapi perdana menteri sendiri harus juga tidak mengkhianati rakyat dengan:
a. membuat siasatan yang telus tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim dengan membawa beliau ke mahkamah dan membiarkan polis menjalankan tugas dengan jaminan tiada campur tangan sesiapa.
Jika beliau didapati bersalah, biar hakim menghantar beliau ke penjara.
b. membuat siasatan yang telus terhadap Najib Razak dengan membawa beliau juga ke mahkamah dan biarkan polis menjalankan tugas mereka dengan jaminan tiada campur tangan sesiapa.
Jika beliau didapati bersalah, biar hakim menghantar beliau ke penjara atau ke tali gantung.
c. melantik pengganti yang benar-benar bersih dan berkebolehan. Jika perdana menteri tidak mahu mengkhianati rakyat, maka jangan dengan sengaja melantik orang yang tidak bersih.
Kami rakyat biasa pun boleh melihat siapa yang bersih dan siapa yang kurang bersih, apakah tidak mungkin perdana menteri tidak dapat melihatnya?
d. meletakkan sepenuhnya kuasa peguam negara dan ketua polis negara di bawah kuasa DYMM Yang di-Pertuan Agong. Jangan benarkan menteri mengetuai kedua-dua institusi ini.
Saya mencadangkan taraf ketua polis negara dan peguam negara dinaikkan setaraf menteri. Tidak perlu menteri bertanggungjawab atas dua institusi ini kerana mereka sudah tahu menjalankan tugas mereka.
e. memberikan peluang kepada media arus perdana dan alternatif melaporkan kebenaran. Jika amalan ini berlaku, rakyat tidak perlu membuka blog dan laman internet.
Oleh itu, perdana menteri harus lebih berani dan tegas mengambil tindakan yang betul agar rakyat tidak diperbodoh-bodohkan kerana kami tidak bodoh.
Dalam pilihanraya umum lepas rakyat mula menunjukkan kuasanya kerana kami telah diperbodohkan dan pembangkang berjaya mengambil peluang ini untuk meraih sokongan.
Tetapi jika perdana menteri mengambil tindakan betul terhadap isu-isu semasa sekarang, maka saya yakin rakyat akan kembali memberi sokongan dan keadaan negara akan lebih aman.
Jika perdana menteri mengetahui rahsia meraih sokongan rakyat, maka beliau tidak perlu menyerahkan kuasa dalam masa terdekat kepada timbalannya.
Rahsianya: Jangan fikir rakyat bodoh kerana kami bukan bodoh .

