Halaman Cina dalam Harakah?
Jikalau tiada halangan perundangan dan seumpamanya bagi melakukannya, Harakah boleh menjadi penyambung kepada lidah masyarakat Tionghua di dalam memperjuangkan nasib masyarakat tersebut setelah harapan mereka terhapus dengan tragedi terbaru ini.
Mungkin bilangan halaman Harakah yang berbahasa Melayu boleh dikurangkan untuk memberi laluan kepada halaman berbahasa Cina (dan sekaligus Bahasa Inggeris yang sedia ada). Dengan menyedari hakikat bahawa sokongan masyarakat Melayu kepada gabungan Barisan Alternatif dalam pilihanraya 2003/4 nanti sukar tergugat, pengurangan halaman berbahasa Melayu kemungkinan besar tidak akan memberikan impak ke arah merosotnya sokongan masyarakat Melayu yang semakin menyerlah kepada BA sekarang ini.
Walaupun jumlah halaman berbahasa Cina ini agak terbatas jumlahnya, kalau diadakan, namun hakikatnya ialah jumlah penjualan Harakah telah semakin meningkat sejak halaman Bahasa Inggeris diwujudkan, walaupun jumlah halamannya agak terbatas juga. Jumlah pembaca Harakah nanti akan pasti melonjak secara berganda-ganda dengan penambahan atau penggantian halaman kepada Bahasa Cina, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana kepercayaan masyarakat Tionghua terhadap tiga akhbar utama Bahasa Cina tersebut dijangka merudum dengan teruknya selepas ini.
Masyarakat Tionghua seperti juga masyarakat Melayu, di mana golongan yang membaca bahan dalam Bahasa Inggeris rata-ratanya adalah golongan profesional dan berpelajaran tinggi sahaja. Golongan yang hanya membaca dalam bahasa ibunda masih ramai di kalangan kedua-dua kaum tersebut. Sebab itulah halaman Bahasa Cina perlu diadakan bagi golongan seperti ini untuk menyebarkan berita dan pendapat yang khusus menyentuh kepentingan mereka - satu peranan yang selama ini dimainkan oleh akhbar yang telah dijual itu.
Harakah sebagai lidah rasmi PAS juga boleh memainkan peranan memberi kefahaman kepada masyarakat Tionghua tentang perjuangan parti tersebut melalui ruangan seperti ini. Jikalau bukan Harakah yang boleh diharapkan untuk menjelaskan isu-isu penting seperti konsep kerajaan Islam kepada pihak-pihak yang telah ditakut-takutkan oleh jentera propaganda BN, siapa lagi?

