Sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk di negara ini, saya merasa amat kesal dengan sikap perkauman yang melampau yang telah ditunjukkan oleh penyampai TV3, iaitu Zakiah Anas, yang sungguh kurang ajar dan tidak profesional sifatnya.

Dalam rancangan TV3, Cara Kita, yang bertajuk 'Seni Pertukangan Melayu' yang disiarkan pada 13 Mei, 2001, jam 7 hingga 7.30 petang, Ahad lalu, Zakiah Anas dengan biadabnya telah berpantun:

Orang Cina menghisap madat
Madat dihisap bersama candu
Orang Melayu memang beradat
Dibuat rumah untuk beradu

Saya ingin bertanya pada Zakiah Anas dan TV3, apakah motif mereka untuk menyiarkan pantun yang seumpama itu, yang isi kandungannya memang benar jelas menghina rakyat Malaysia dari keturunan Cina. Pantun itu seolah-olah menggambarkan yang orang Cina suka hisap madat bersama candu.

Demi untuk menjernihkan yang keruh, maka saya menyeru Zakiah Anas dan TV3 meminta maaf daripada masyarakat Cina di negara ini. Lebih-lebih lagi kerana rancangan itu disiarkan pada tarikh 13 Mei, iaitu tarikh hitam dalam sejarah Malaysia.