Apabila Presiden Cuba, Dr Fidel Castro memuji Dr Mahathir Mohamad sebagai 'maverick' dan juga sebagai seorang daripada dua pemimpin negara membangun (termasuk Castro sendiri) yang berani menentang negara maju, maka kembang kuncuplah kebanggaan Mahathir.

Setiap kali pemimpin luar datang ke Malaysia maka mereka ditunjukkan Mahligai Perdana Menteri di Putrajaya dan bangunan berkembar Petronas, seolah-seolah itu sahaja yang layak ditunjukkan.

Tidaklah pula mereka ini diberitahu tentang jutaan ringgit wang rakyat yang digunakan untuk membina bangunan tersebut dan kini rakyat menanggung akibatnya-akibat kemelesetan ekonomi hasil daripada pemborosan kerajaan?

Disebabkan keadaan Cuba yang dikelilingi oleh negara besar seperti Amerika Syarikat, tujuannya menentang Amerika adalah kerana 'survival'.

Tetapi Mahathir menentang Amerika kerana keegoan beliau dan cita-cita beliau sebagai pemimpin negara-negara ketiga. Dan penentangan yang tidak berbaloi itu telah menyebabkan negara ini mengalami keadaan ekonomi yang semakin hari semakin meruncing. Keadaan ini dijangka akan berterusan.

Mahathir pernah menyatakan bahawa keadaan ekonomi akan pulih dalam sedikit masa beberapa kali, tetapi hakikatnya sebaliknya pula yang terjadi. Ini sudang menggambarkan kepada kita bahawa tindakan pemulihan ekonomi 'ala Mahathir' yang dibangga-banggakan selama ini sudah mula menampakkan kemelesetannya.

Oleh sebab itu kita jangan terlalu bangga dengan keberanian Mahathir kerana beliau mempunyai agenda beliau sendiri. Beliau tidak memikirkan tentang kesejahteraan rakyat dan tidak malu dan segan membohongi rakyat.