Menurut laporan media, dalam ucapan Dr Mahathir Mohamad pada forum nasib Melayu di sebuah hotel di Alor Setar pada 19 Mei lalu, beliau mencadangkan ahli Umno supaya keluar parti secara beramai-ramai buat sementara bagi memaksa Abdullah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Selepas ucapan tersebut, Dr Mahathir dicabar oleh seorang hadirin agar beliau mengetuai tindakan seperti saranannya sendiri agar dapat dicontohi, maka beliau pun mengumumkan keputusannya untuk keluar parti berkuatkuasa serta-merta, pengumumannya itu disambut dengan tepukan gemuruh!

Jika Dr Mahathir membuat pengumuman keluar parti semata-mata kerana pantang dicabar, maka perbuatannya itu boleh diumpamakan sebagai melakukan harakiri, iaitu menamatkan riwayat politiknya dalam Umno yang amat dihasratkan Abdullah tetapi tidak berani melakukannya.

Dengan kata Musa Hitam, bekas timbalan perdana menteri, "duri dalam daging sudah pun terkeluar, dan konsep Mahathirisme sudah berlalu!" Atau dengan kata Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri di Jabatan Perdana Menteri, keputusan Dr Mahathir itu dialu-alukan kerana sudah tiba masanya untuk beliau meninggalkan parti!

Jika Dr Mahathir mengambil tindakan drastik itu setelah berfikir secara mendalam dan mengambil kira semua faktor seperti dipercayai ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, seorang lagi tokoh anti-Abdullah, maka terbuktilah beliau sekarang berada dalam keadaan yang amat tidak menguntungkan sehingga terpaksa memperjudikan nasibnya.

Tindakan Dr Mahathir itu khasnya selepas kabinet memberi arahan terbaru supaya peguam negara memulakan siasaan serta-merta berhubung segala tuduhan terhadap individu, termasuk Dr Mahathir, yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja siasatan mengenai klip video peguam VK Lingam.

Andainya Dr Mahathir bukan keluar parti dengan sendiri, tetapi disingkirkan oleh Umno - umpamanya diambil tindakan disiplin oleh parti - maka beliau mungkin lebih senang meraih simpati daripada pengikut-pengikutnya dahulu dan sekarang.

Slogan Dr Mahathir - "jika ahli parti sayangkan Umno, maka mereka hendaklah keluar parti, tapi jika sayangkan Abdullah, maka kekallah dalam Umno" - rasanya tidak logik dan meyakinkan berbanding dengan permintaan Abdullah agar ahli-ahli Umno menunjukkan kesetiaan meneruskan perjuangan dalam Umno.

Secara terus-terang Ku Li berkata beliau tidak berhasrat meninggalkan Umno dan akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti Disember akan datang, benar juga pertanyaan beliau: "Kalau saya keluar daripada parti, saya hendak lawan dengan siapa?"
Anak Dr Mahathir, Mukhriz juga tidak sanggup mengikut jejak ayahnya. Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein malah menyifatkan tindakan Dr Mahathir itu sebagai tidak bertanggungjawab, boleh mengeruhkan keadaan dan tidak memberi manfaat kepada parti.

Naib presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang pernah dipuji Dr Mahathir sebagai satu-satunya pemimpin Umno yang berani bercakap benar dan berpotensi diangkat sebagai pengganti Abdullah juga menasihati ahli Umno supaya jangan gopoh membuat keputusan yang boleh merosakkan parti, masa depan orang Melayu dan negara.

Dengan segera ahli parlimen Umno telahpun menyatakan sokongan padu mereka kepada kepemimpinan Abdullah sebagai presiden Umno serta berikrar tidak akan meninggalkan parti seperti disarankan Dr Mahathir.

Respons Najib yang telah diterima Abdullah sebagai pengganti rasminya memerlukan perhatian khas. Beliau yang berada di Mesir untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) Mengenai Asia Barat menegaskan, segala masalah yang berbangkit perlu diselesaikan dalam Umno, bukan di luarnya, dan isu dalaman Umno tidak akan dibiarkan mengganggu-gugat tanggungjawab parti itu.

Tambahnya, beliau akan terus berbincang dengan perdana menteri berkaitan usaha pengukuhan parti serta peralihan kepemimpinan seperti dizahirkan presiden parti sebelum ini.

Beliau juga bersedia berjumpa sekali lagi dengan Dr Mahathir bagi membincangkan tindakan terbaru bekas perdana menteri itu keluar daripada parti.

Di samping itu, beliau juga mengatakan beliau akan menunaikan umrah selepas ini seperti dijadualkan walaupun ada pihak mahukannya terus pulang ke Malaysia.

Kali ini, sokongan Najib kepada Abdullah nyata tidak setegas pasca 8 Mac manakala Dr Mahathir cuba memperalatkan Najib untuk menjatuhkan Abdullah dan mengambil alih kuasanya sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Najib mengambil keputusan akan menunaikan umrah seperti dijadualkan mungkin membayangkan niatnya untuk mengambil sikap berpeluk tubuh buat sementara sebelum memastikan sama ada saranan Dr Mahathir itu mendapat sokongan atau sebaliknya.

Najib yang mengatakan beliau akan berjumpa dengan Dr Mahathir sekali lagi juga memberi ruang untuk semua pihak mengkhayalkan imajinasi masing-masing dan memikirkan yang bukan-bukan, termasuk mungkinkah Najib telah bergabung dengan Dr Mahathir untuk memaksa Abdullah meletakkan jawatannya dalam parti dan kerajaan?
Najib padahal telah menyentuh isu yang amat sensitif, iaitu beliau akan terus berbincang dengan perdana menteri berkaitan "peralihan kepemimpinan" seperti dizahirkan presiden parti sebelum ini.

"Peralihan kepemimpinan" (lebih tepat "jadual peralihan kuasa") padahal bukan dizahirkan Abdullah, tetapi kata dua Umno Johor supaya perdana menteri mengumumkan tarikh beliau akan berundur.

Abdullah telah membuat pengumuman rasmi bahawa Najib adalah penggantinya, dan beliau akan membincangkan jadual peralihan kuasa dengan Najib yang pada masa itu masih belum nekad untuk mencabar Abdullah sebagai proksi Dr Mahathir, mungkin kerana terlibat dalam beberapa skandal yang masih menjadi sasaran serangan musuh politiknya.

Selepas itu, diumumkan Abdullah lagi, persetujuan telah dicapai antara beliau dengan Najib bahawa jadual peralihan kuasa akan diumumkan selepas perhimpunan agung Umno pada Disember ini. Dalam saat genting ini, kenapa ditimbulkan lagi masalah yang dianggap Abdullah sebagai telah diselesaikan?

Perubahan sikap Najib mengingatkan kita tentang senario yang dibangkitkan Shahrir Abdul Samad, ahli Majlis Tertinggi Umno serta menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna, bahawa negara mungkin akan berdepan dengan satu lagi pilihanraya umum, kerana keputusan Dr Mahathir itu boleh mengakibatkan situasi ramai ahli parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan.

Namun, sekalipun Dr Mahathir sanggup memaksa Abdullah berdepan dengan satu lagi pilihanraya umum, beliau juga tidak dapat memaksa Abdullah meletakkan jawatannya sebagai presiden parti dan perdana menteri.

Sebab dalam pilihanraya umum yang baru, jika Umno/BN kalah dengan lebih teruk lagi, maka pasti Dr Mahathirlah yang akan dipertanggungjawab dan disalahkan.

Jika Umno/BN mencapai kemenangan yang lebih besar, bermakna kedudukan Abdullah dalam parti dan kerajaan akan diperkukuhkan lagi, dalam keadaan itu, beliau tentu enggan meletak jawatan.

Dalam blog Dr Mahathir, di bawah tajuk Lompat, beliau menasihati ahli parlimen BN jangan lompat ke Pakatan Rakyat kerana tidak berpeluang untuk jadi perdana menteri, dan juga tidak banyak yang berpeluang jadi menteri dan timbalan menteri.

Katanya, jika ramai ahli parlimen yang keluar BN dan tidak menyertai Pakatan sehingga menyebabkan BN tiada majoriti lagi, maka kerajaan pimpinan Abdullah akan jatuh, selepas BN ganti Abdullah dengan orang lain yang berani, mereka boleh menyokong BN semula dan BN akan kembali membentuk kerajaan.

Bersusah-susah keluar parti dan masuk semula parti, selain daripada mengambil risiko dipecat daripada parti kerana melanggar disiplin parti, tiada apa-apa manfaat kepada ahli-ahli parlimen sebagai individu, melainkan Abdullah akan diganti dengan "orang lain yang berani"!

Bukankah Abdullah sudah mencapai persetujuan dengan Najib tentang jadual peralihan kuasa yang akan diumumkan selepas perhimpunan agung Umno?

Kenapa Abdullah mesti meletakkan jawatan sekarang juga? Adakah kerana Dr Mahathir takut Abdullah akan menggunakan pengaruhnya untuk mengheretnya ke mahkamah?