Syor K Low supaya para pelajar yang gagal mendapat tempat ke universiti tempatan agar berhijrah ke negara lain adalah pendapat yang dangkal dan terlalu emosional ('Go where you're wanted', May 10).

Adakah hanya kerana gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi tempatan, semua mereka harus berhijrah? Hidup ini sebenarnya terlalu mahal untuk kecewa, marah dan memberontak. Hidup juga tidak harus terhenti hanya kerana kegagalan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Fenomena tidak mendapat tempat walauapun keputusan cemerlang bukan perkara baru malah ia telah berlaku sejak sistem kuota diperkenalkan dari dulu lagi. Jadi apa masalahnya? Adakah penulis hanya sedar perkara itu hanya setelah ia dimainkan sebegitu rupa dan dibesar-besarkan sebagaimana sekarang?

Terimalah hakikat bahawa tidak semua yang mendapat keputusan itu akan beroleh tempat di universiti tempatan. Dan terimalah hakikat bahawa bukan semua mampu berhijrah. Tidak semua yang mendapat keputusan yang baik itu dari golongan berada atau kaya raya.

Penulis tidak payahlah menasihat mereka supaya belajar ke universiti luar negara kerana kalau mereka kaya-raya, mereka sudah lama memohon ke universiti-universiti di luar Malaysia.