Rancangan Jabatan Imigresen supaya rakyat Malaysia yang berada di luar negara balik ke Malaysia untuk memperbaharui paspot masing-masing adalah satu tindakan membawa rakyat kembali ke zaman Pak Kadok.

Bukan sahaja tindakan itu bakal menyusahkan dan membebankan, tetapi juga tidak selari dengan laungan wawasan mega negara untuk menjadi sebuah negara maju. Di zaman status MSC menjadi status eksklusif dengan paspot pintar dan segala kad pintar, masih ada juga mereka yang tidak pintar dalam melaksanakan peraturan di alaf terkini.

Mungkin ada strategi lain dari alasan bodoh supaya rakyat yang berada di luar negara pulang untuk mengikuti perkembangan negara dalam menghindarkan lapuran negatif. Dengan satu klik tetikus di skrin komputer, rakyat Malaysia boleh mendapat berita terkini dengan pelbagai pilihan sumber, sama ada dari mesin propaganda kerajaan atau sumber alternatif.

Apakah mereka yang membuat peraturan di Jabatan Imigresen merasakan kami yang berada di luar negara ini semuanya bodoh dan tidak boleh memikirkan sendiri segala sumber berita? Atau sebagai salah satu cara untuk memastikan semua yang berada di luar negara adalah pro-kerajaan?

Bayangkan untuk memperbaharui paspot sahaja, rakyat yang bekerja di luar negara terpaksa membelanjakan tiket kapalterbang yang jauh lebih mahal dari harga memperbaharui paspot.

Harapan kami, kemudahan yang sedia ada untuk memperbaharui paspot di kedutaan negara luar negara sepatutnya diteruskan kerana dengan teknologi canggih di Jabatan Imigresen (yang tentunya menelan jutaan ringgit wang rakyat) boleh menjadikan Malaysia negara yang mesra rakyat, kalau tidak mesra pelabur!