Pendidikan percuma bermula taman didikan kanak-kanak (tadika) hingga peringkat universiti akan dibawa oleh wakil-wakil Pakatan Rakyat ke sidang parlimen, kata menteri besar Perak.

"Kita (Pakatan) juga akan memberi penjelasan kepada rakyat bagaimana mereka boleh mendapat pendidikan secara percuma untuk anak-anak mereka," kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas merasmikan sambutan hari pekerja di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata dasar demikian boleh meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyekolahkan anak-anak mereka, lapor Bernama.

"Sekarang ini ibu bapa perlu membayar yuran anak-anak mereka sebanyak RM4.50 bagi sekolah rendah dan RM9 untuk sekolah menengah.

"Jumlah ini tidak besar tetapi ceritanya seolah-olah seluruh dunia merasakan di Malaysia ini pendidikan adalah percuma sedangkan ia tidak benar," beliau dipetik sebagai berkata.