Pemimpin yang hanya berpaut pada penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berterusan untuk kekal berkuasa sememangnya sedang ketakutan kerana tiada jalan yang lebih berkesan untuk menangani suara reformasi. Mereka akan hanya menyokong penghapusan ISA bila mereka sendiri telah ditahan di bawah akta tersebut.

Tiada siapa yang akan kekal di dunia ini, begitu juga dengan pemimpin, yang sesetengahnya hanya layak dipanggil sebagai ahli politik sahaja. Janganlah meminta rakyat merasa terhutang budi kepada mereka kerana adalah tugas mereka memenuhi kehendak rakyat. Ramai lagi yang lebih layak dan bersedia untuk menjalankan tugas dengan lebih ikhlas jika 'pemimpin' yang sedia ada tidak mampu berbuat demikian.

Tangkaplah, dan hukumlah sesiapa saja yang melakukan jenayah setimpal dengan kesalahan. Buktikanlah kesalahan mereka. Rakyat mahukan keadilan. Ramai yang mahukan perubahan yang tidak semestinya melalui pertukaran kerajaan. Malangnya sesiapa yang bersuara akan dicap sebagai anti-kerajaan. Pak Lah menasihatkan tunggu lima tahun lagi untuk membuat bantahan melalui undi pilihanraya. Sementara itu sesiapa yang dipilih atau berkuasa boleh berbuat apa saja.

Ingatlah, tiada rakyat negara ini yang mahu Malaysia menjadi seperti Indonesia atau Filipina. Tetapi rakyat juga semakin pintar berfikir.