Berhubung dengan tuduhan Noor Azman Sulaiman yang melihat tindakan kerajaaan PAS Terengganu untuk menguatkuasakan peraturan melarang meminum minuman keras di khalayak umum sebagai suatu bentuk pencabulan hak-hak asasi manusia amatlah memalukan dan memeranjatkan ([#1]Percaturan politik PAS memakan BA[/#], 21 April).

Apakah penulis masih tidak mahu melihat realiti, dan masih bersembunyi di sebalik platfom hak asasi manusia bagi menghalalkan segala bentuk perlanggaran norma-norma hidup murni yang melihat perbuatan meminum minuman yang memabukkan bukan hanya memudaratkan peminum itu sendiri tetapi boleh menyebabkan pihak lain yang tidak terlibat menghadapi kesan buruknya.

Noor Azman perlu sedar hikmah di sebalik pengharaman Allah terhadap meminum arak secara sembunyi atau di khalayak ramai bahawa apabila seseorang itu telah mengambil minuman yang memabukkan itu, maka seseorang itu telah secara sengaja menghilangkan kewarasan fikirannya dan seterusnya boleh menyebabkannya hilang pertimbangan dalam tindakan dan perlakuan sehingga boleh tercetusnya pelbagai perkara-perkara buruk yang tentunya tidak hanya melibatkan individu peminum arak itu sahaja tetapi juga orang lain.

Terlalu banyak perangkaan yang telah menunjukkan kesan buruk hasil tindakan orang-orang yang sengaja telah menghilangkan kewarasan fikiran mereka ini terhadap keharmonian kehidupan orang lain.

Tanggungjawab sesebuah pemerintah bukan sekadar melihat keuntungan yang dijanakan oleh industri arak tetapi terlebih penting dari itu bertanggungjawab melindungi rakyat dari terjerumus ke dalam situasi di mana kewarasan akal tidak lagi dimiliki. Islam mewajibkan umatnya memelihara kewarasan akal fikiran kerana di situlah terletaknya nilai sebagai seorang manusia.

Tindakan kerajaan PAS Terengganu itu tidak harus dilihat sebagai suatu usaha untuk menyekat kebebasan hak individu kerana sememangnya kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan dan membentuk rakyat supaya mempunyai tahap kewarasan fikiran yang membolehkan mereka mempunyai kekuatan mental dalam mengharungi kehidupan yang lebih global dan menghindari rakyatnya dari mengambil pendekatan yang boleh merendahkan tahap kewarasan akal fikiran mereka.