Tindakan Perdana Menteri yang kita lihat sejak kebelakangan ini semakin membuktikan lagi bahawa Malaysia memang memerlukan seorang yang lebih muda, waras pemikirannya serta teguh pendiriannya sebagai ketua kerajaan.

Saya merujuk kepada reaksi Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad berkenaan penahanan tujuh aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan alasan mereka berpakat untuk membuat letupan bom atau kacau-bilau atau pun hura-hara (sekadar meminjam perkataan Perdana Menteri sendiri).

Menurut Perdana Menteri tindakan penahanan mereka ini adalah wajar kerana polis (maksudnya: pasukan polis) mempunyai bukti bahawa tujuh orang ini mengadakan satu pakatan sulit untuk membuat huru-hara dan letupan bom serta pelbagai lagi tindakan yang boleh membahayakan ketenteraman awam. Kata beliau, ISA terpaksa digunakan sekali lagi untuk mencegah pakatan sulit ini daripada terus membahayakan keselamatan orang ramai tetapi pasukan polis tidak boleh mendakwa mereka di mahkamah kerana tiada bukti serta laporan yang lengkap.

Lihat kontradiksi kenyataannya. Sebentar tadi beliau berkata pasukan polis menahan tujuh orang tersebut kerana mempunyai bukti yang mereka mengadakan pakatan sulit untuk membuat sesuatu yang membahayakan keselamatan orang ramai dan juga negara. Sekarang beliau berkata pula bahawa polis tidak boleh mendakwa mereka di mahkamah kerana kekurangan bukti dan tiada laporan yang lengkap.

Masuk akalkah kenyataan ini?