Penahanan tujuh tokoh reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini dituduh konon mahu mencetuskan rusuhan besar melalui demonstrasi jalanan. Selepas itu tuduhan baru pula direka-reka, mereka kononnya merancang membawa masuk rakyat Indonesia untuk menyertai demonstrasi jalanan secara militan bagi menggugat keselamatan negara.

Tuduhan baru ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri selepas merasmikan mesyuarat agung Umno di Gerik, Perak. Malah TPM berkata polis mempunyai maklumat mengenai hubungan kumpulan reformasi di negara ini dengan golongan tertentu di Indonesia. Tetapi beliau tidak pula menyatakan siapakah golongan tertentu di Indonesia itu.

Sebenarnya tenaga reformis di Malaysia sudah cukup besar kalau mahu menggerakkan demonstrasi. Rakyat Indonesia bukannya tolol seperti dakwaan TPM dan polis. Apa perlu mereka datang ke Malaysia jika semata-mata untuk menyertai demonstrasi yang akan membawa pelbagai risiko itu?

Demonstrasi jalanan secara 'militan' hanya igauan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan timbalannya Abdullah Badawi. Polis terpaksa diperalatkan untuk merisik dan melaporkan setiap langkah reformis terhadap kezaliman Mahathir dan Barisan Nasional.

Lalu laporan direka-cipta, seolah-olah berjaya menandingi hikayat seribu satu malam - Mahathir dan Abdullah akan terus dengan igauan. Mereka berbohong kerana cuba menegakkan benang basah.

Tidak ada aktvis reformasi dan rakyat Malaysia yang mahu menggugat keselamatan negaranya sendiri. Malaysia adalah negara kita. Kita lahir, hidup dan mati di bumi Malaysia. Kestabilan dan keselamatan Malaysia adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia, termasuk para reformis.

Bagaimanapun, Malaysia mungkin akan hancur, kestabilan dan keselamatannya akan punah bukan kerana kegiatan reformis dan demonstrasi tetapi akibat salah laku pemimpin negara yang rasuah, mengamalkan nepotisme, mengutamakan anak-pinak dan suku-sakat, tidak amanah, menyeleweng, salah-guna kuasa dan kedudukan, memperalatkan institusi dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti dan diri sendiri.

Perjuangan semua aktivis reformasi bertujuan menyelamatkan Malaysia daripada ditimpa bala buruk akibat kerakusan manusia yang mulai hilang pertimbangan, serta gagal melihat kebenaran dan keadilan.

Kuasa adalah amanah. Menyalahgunakan kuasa bererti pecah amanah yang diberikan oleh rakyat untuk memerintah negara dengan sebaiknya. Tetapi selama ini, apakah yang sudah dilakukan Mahathir dan BN terhadap amanah rakyat itu?