Merujuk kepada surat Penduduk KL ([#1]Syabas PAS-Terengganu[/#], April 11), saya sebagai bukan Islam (atau kafir secara hurufiahnya) amat menghargai komen penulis tentang pengharaman minuman keras di Terengganu yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Ingin saya berkongsi pendapat saya dari sudut yang agak kafir sedikit. Pengharaman penjualan atau meminum minuman keras sebenarnya bukan kegusaran golongan bukan Islam yang utama, kuncinya adalah kalau hari ini moral dan akhlak digunakan sebagai alasan untuk menjaga tepi kain orang, saya percaya pada satu hari nanti, jika ditakdirkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) masih memerintah Terengganu atau mana-mana negeri, hak golongan bukan Islam untuk mengamalkan kehidupan biasa mereka tidak terjamin.

Sebagai rakyat Malaysia yang pernah mengambil pengajian Tamadun Islam di setiap peringkat pembelajaran, saya tahu adalah haram bagi umat Islam untuk mengambil bahan yang memabukkan. Tetapi izinkan saya memperingatkan saudara Penduduk KL bahawa tiada dalam ajaran Islam yang tidak membenarkan bukan Islam mengambil minuman keras. Mungkin larangan tersebut wujud dalam agama-agama lain yang dianuti oleh golongan bukan Islam, namun itu adalah isu di antara mereka dengan Tuhan anutan mereka, bukannya dengan Allah Maha Pengasih.

Izinkan saya membuat seruan ini, sebagai golongan bukan Islam, saya percaya ramai yang setuju bahawa amalan meminum minuman keras adalah satu tabiat yang kurang sihat kerana tabiat ini mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan moral keluarga. Tetapi jangan lupa bahawa banyak sekolah Cina persendirian dan separa-bantuan bergantung kepada kempen derma awam yang banyak ditaja oleh syarikat-syarikat minuman keras.

Di sini wujudnya satu justifikasi di mana dalam setiap yang buruk, ada baiknya dan begitulah sebaliknya. Jika alasan moral dan akhlak hanya dipertimbangkan mengikut suasana agama satu parti sahaja, nescaya wang derma yang diberikan kepada warga tua dan golongan kurang bernasib baik oleh syarikat Sport Toto dan Magnum setiap tahun bolehlah saudara sebut sebagai derma haram.

Tabiat meminum minuman keras bukan satu amalan yang kronik dan tidak boleh dikawal. Tetapi jika mekanisme kawalan itu datang daripada mereka yang gagal memahami perasaan orang lain dan bersikap terlalu ego terhadap agama sendiri, jangan harap golongan bukan Islam boleh menghayati pengharaman tersebut dengan hati terbuka, kerana yang terbuka hanyalah pekung mereka yang kononnya pakar dalam Islam, tetapi daif dalam memahami keunikan struktur masyarakat berbilang bangsa.