Pelajar Islam sedia membayar balik faedah satu peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia bukan riba.

"Kami akan terima keputusan itu jika PTPTN sendiri mengeluarkan kenyataan menjelaskan faedah tersebut bukan berunsur riba," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)Muhamad Faisal Abdul Rahman kepada malaysiakini.

Beliau diminta mengulas satu laporan akhbar yang menyatakan kadar empat peratus mungkin diturunkan kepada satu peratus ekoran desakan badan-badan pelajar sejak dua minggu lalu untuk menghapuskannya.

Akhbar Utusan Malaysia Rabu lalu menyebutkan kadar sekarang "mungkin dikurangkan lagi kepada satu peratus sahaja" dan kadar baru yang dicadangkan itu "berpatutan untuk membiayai kos perkhidmatan pengurusan PTPTN."

"Ia bukanlah riba dalam bentuk kadar faedah, tetapi semata-mata upah pengurusan," kata satu sumber, dipercayai daripada tabung tersebut, seperti dilaporkan.

Bagaimanapun PMIUM tidak pasti dengan cadangan tersebut dengan alasan sumber yang digunakan oleh akhbar harian tersebut tidak jelas.

"Mungkin mereka (akhbar dan PTPTN) membangkitkan cadangan seperti ini untuk meredakan keadaan supaya pelajar tidak bertindak," dakwa Faisal.

"Walaupun satu peratus, jika ia disahkan mengandungi riba, maka kami akan tetap menentang (cadangan itu)."

Faisal bagaimanapun menambah, keputusan PMIUM untuk menerima cadangan tersebut bergantung kepada pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa kadar satu peratus itu tidak berunsur riba.

Apabila ditanya tentang memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pendidikan dua minggu lepas, Faisal berkata persatuan-persatuan pelajar masih menunggu jawaban rasmi.

Pada 19 Januari lalu, 24 persatuan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menghantar satu memorandum kepada kementerian itu untuk menggesa dihapuskan kadar empat peratus itu dengan alasan ia "berunsur riba" dan "mengabaikan kebajikan pelajar."

Mereka juga mendakwa alasan PTPTN dan kementerian bahawa kadar itu sebagai kos perkhidmatan adalah "tidak munasabah." ([#1]Riba PTPTN: Memo dihantar kepada menteri[/#], 19 Jan)

Ketika dihubungi malaysiakini tengahari tadi, PTPTN enggan mengulas lanjut.