Saya merasa terpanggil untuk menyatakan pandangan bagi isu penggabungan PRM dan Keadilan. Merujuk kepada ulasan demi ulasan oleh naib presiden PRM saudara Rustam A Sani, saya merasakan adalah lebih bijak untuk beliau berhenti daripada mengeluarkan sebarang komen dalam isu ini.

Walaupun benar kita mengakui kepimpinan Keadilan agak baru dan saya sendiri cukup menghormati ketokohan pemimpin PRM namun realitinya ialah kita berjuang untuk memampankan barisan alternatif dalam konteks sistem politik di negara ini.

Kita ingin wewujudkan barisan alternatif yang kuat, yang bukan sekadar berjuang ala NGO!

Kita menubuhkan parti politik agar kita dapat berkuasa dan mengembalikan hak rakyat dengan menentang kerajaan Barisan Nasional.

Sememangnya benar PRM parti yang cukup lama, namun cara perjuangannya lebih bermirip NGO. Mereka sememangnya hebat dari segi perjuangan untuk golongan bawahan, namun untuk menangani parti politik gabungan BN kita memerlukan seluruh BA yang kuat, yang bukan berminat dengan sekadar teori dan sejarah, tetapi kemampuan menarik minat dan sokongan rakyat terbanyak dalam meraih undi pada pilihanraya.

Maka dengan itu, adalah dicadangkan agar PRM tidak dibubarkan, tetapi sekadar ditukar status dari parti politik kepada NGO. Untuk pemimpin utama yang ingin mencurahkan pengalaman mereka kepada Keadilan, maka disarankan agar mereka menjadi ahli Keadilan agar mereka dapat bertanding di atas tiket Keadilan.

Pastinya, kita jangan cepat melatah dan saya ingin ingatkan saudara Rustam, kami golongan muda tidak suka dengan ulasan teori lapuk saudara semata-mata; kami mahu langkah yang jelas, ulasan yang tidak emosi tetapi rasional.

Kepada pimpinan Keadilan, kami sentiasa berada di belakang anda, namun kami tidak akan berdiam diri sekiranya kami rasa sesuatu perlu ditegur (berkat benarlah walaupun pahit didengar).