Sebanyak 140 buah kilang di Zon Perindustrian Seberang Prai mengalami gangguan operasi hari ini angkara banjir kilat yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun mutakhir di daerah tersebut.

Kilang-kilang tersebut termasuklah milik syarikat besar Mattel dan kumpulan Toray-PenFibe - antara yang paling teruk.

"Tiada siapa pun suka melihat keadaan (yang teruk) itu," kata Jeff Ooi Chuan Aun di blognya Screenshots (www.jeffooi.com).

Kerosakan lapan daripada 12 pam dikenali sebagai punca banjir kilat tersebut, lapornya lagi.

jeff Jeff, ahli parlimen Jelutong, kini dilantik sebagai ketua kakitangan di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pakatan DAP-PKR membentuk kerajaan baru.

Menurutnya, kerosakan pam tersebut gara-gara tiadanya penyelenggaraan Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP).

Naib pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) cawangan utara, Datuk Muhammad Ismail, dilaporkan berkata masalah banjir kilat telah lama disuarakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam beberapa mesyuarat tetapi masih berulang.

Jeff menambah, sewaktu lawatan timbalan ketua menteri P Ramasamy di tempat kejadian pada 8.30 pagi, ketua jurutera MPSP pula tidak dapat dihubungi sehinggalah satu setengah jam kemudian dan Yang Dipertuanya pula gagal dikesan sehinggalah 12.30 tengah hari.

"Inilah contoh pentadbiran yang teruk di sebuah PBT dan ia telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada mereka yang mengalaminya," tulis Jeff lagi.