Bagi saya, penyatuan Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia adalah satu perkara yang positif. Itulah sebabnya saya menyokong cadangan yang mula dikeluarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu. Namun begitu, selepas membaca artikel Rustam A Sani dalam Suara PRM, dan surat Abu Taufiq Ismail dalam malaysiakini ([#1]Bubarkan PRM![/#], 7 April), saya mula berasa ragu-ragu.

Jika pendapat penulis surat itu mewakili pendapat ramai dalam Keadilan, maka saya rasa PRM akan hanya membuang masa bersatu dengan Keadilan.

Pertamanya, isu ini adalah berkenaan 'penyatuan' atau 'penggabungan' dua buah parti, bukanlah isu mudah 'penyertaan' PRM dalam Keadilan seperti yang dicadangkan oleh penulis. 'Penyatuan' bermaksud menggabungkan elemen positif daripada kedua-dua pihak dalam satu parti. PRM dan Keadilan masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan dari segi itu kedua-dua parti itu berdiri di atas padang yang sama rata.

Cadangan penulis agar PRM dibubarkan sahaja dan semua anggotanya menyertai Keadilan amat tidak bijak kerana ini seolah-olah mencadangkan bahawa Keadilan ialah parti yang 'superior'.

Kita tidak boleh semudah itu menepis sejarah dan perjuangan PRM dalam pembangunan negara. Keadilan baru berusia dua tahun, tetapi PRM telah memperjuangkan nasib rakyat terbanyak beberapa dekad. Pemimpin seperti Dr Syed Husin Ali amat dihormati kerana menunjukkan prinsip perjuangan yang amat luarbiasa.

Penulis juga menimbulkan apa yang dianggapnya sebagai 'masalah' PRM, iaitu ideologi sosialismenya. Apa sebenarnya 'masalah' penulis dengan ideologi itu? Apakah aspek-aspek sosialisme yang ditentangnya? Konsep 'keadilan sosial sejagat' yang disebutkan oleh penulis itu sendiri tidak bercanggah dengan perjuangan sosialisme. Sikap dan pandangan cetek penulis itu menunjukkan bahawa masih wujud lagi pemikiran 'ala-Umno' di kalangan penyokong Keadilan.

Mungkin penulis tidak dapat memahami mengapa 'ideologi' parti amat penting. Antara parti-parti dalam Barisan Alternatif, hanya Keadilan sahaja merupakan parti tanpa pegangan ideologi yang nyata.

Memang mudah ke sana-sini menjaja idea dan konsep 'keadilan' untuk rakyat, untuk Anwar, untuk generasi akan datang dan lain-lain. Tetapi tidak kurang penting adalah cara kita mendefinisikan konsep 'keadilan' dan bagaimana kita ingin menyusun masyarakat untuk mencapainya.

'Keadilan' itu sendiri merupakan matlamat semua ideologi. Jika bagi kita, keadilan bermaksud 'menerima habuan untuk apa yang telah kita usahakan', ideologi liberal akan mencapai keadilan. Jika kita menganggap keadilan lebih bermirip kepada 'kesamarataan' (equality) dan menganggap bahawa wujud ketidakadilan dalam sistem yang sedia ada, maka sosialisme akan berusaha untuk membaiki ketidakadilan itu.

Oleh itu, bagi saya, protes penulis itu sebenarnya berpunca atas kekeliruannya sendiri tentang ideologi yang ditentangnya itu.

Memang tidak dinafikan, masyarakat kita sebenarnya masih tidak faham apa ertinya 'sosialisme', 'Marxisme', 'komunisme' - ramai yang masih berpendapat konsep-konsep ini sama dan serupa.

Saya bukanlah mencadangkan agar PRM-Keadilan mengambil bulat-bulat sosialisme untuk diterapkan dalam perjuangannya. Kita harus membina ideologi tersendiri dalam acuan kita. Namun, kita juga tidak harus membiarkan syak wasangka kita terhadap sosialisme membutakan mata kita.

Bagi saya, apa yang lebih penting di sini adalah isu ideologi secara keseluruhannya. Saya memang menyokong parti Keadilan, dan berpendapat parti ini mempunyai potensi dan semangat yang tinggi. Namun begitu, parti ini tidak mempunyai pegangan ideologi yang jelas. Masih ramai yang tidak faham apa sebenarnya yang dijuangkan oleh Keadilan, bagaimana cita-cita itu akan dicapai, apa matlamat parti itu untuk rakyat dan struktur masyarakat - pendek kata, apa sebenarnya ideologi Keadilan?

Itulah kekuatan PRM, dan bagi saya penyatuan kedua-dua parti ini harus menggabungkan elemen-elemen yang positif ini. PRM-Keadilan akan dapat mendefinisikan citra rakyat Malaysia di masa akan datang. Ideologi parti amat penting dalam melahirkan satu sistem demokrasi yang mantap. Jika tidak, perjuangan 'ala-Umno' akan terus berleluasa.

Contohnya, Umno kononnya memperjuangkan 'apa yang terbaik untuk rakyat'. Oleh kerana tidak wujudnya ideologi Umno yang nyata - 'apa yang terbaik untuk rakyat' boleh dicapai mengikut sukanya.

Bila sesuai dilaungkan 'nasionalisme' dan jati diri nasional, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menghentam Soros dan media Barat.

Bila ada peluang untuk membuka bisnes dengan 'orang luar', konsep globalisasi dan revolusi IT pula dilaungkannya.

Bila dikritik tentang rekod hak asasi Malaysia, kedengaran pula konsep 'nilai-nilai Asia'.

Bila ekonomi negara merudum, laungan globalisasi digantikan pula dengan idea 'compassionate capitalism' dan menentang 'imperialisme' Barat (meminjam ideologi Leninisme!).

Golongan muda sekarang inginkan perubahan politik yang menyeluruh. Mohd Ezam Mohd Nor, ketua pemuda Keadilan, sering menyebut tentang budaya 'politik baru' yang akan diperjuangkan Barisan Alternatif. Pada pendapat saya, beliau boleh memulakan budaya itu dengan membuka sayap Pemuda kepada wanita juga. Itu satu lagi elemen positif PRM.

Syed Husin hadir di London tahun lalu untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia. Ramai di kalangan kami amat 'impressed' dengan penyampaian beliau. Beliaulah satu-satunya pejuang rakyat yang sejati pada masa ini di Malaysia.

Jika pandangan penulis itu mewakili pandangan majoriti dalam Keadilan, lupakan sahajalah penyatuan. Syed Husin dan PRM tidak wajar menerima 'pukulan' sebegitu rupa.