Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata agenda utamanya ialah untuk merampas semula kerajaan Selangor dari tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.

Malam tadi, beliau mengambil alih jawatan pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada Datuk Dr Mohd Khir Toyo selepas kekalahan teruk BN Selangor dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Barisan pembangkang - PKR, DAP dan PAS - berjaya merampas Selangor selepas memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

BN menang 20 kerusi DUN dan lima daripada 22 kerusi parlimen di negeri itu.

"Saya mengambil alih tugas ini setelah diberi kepercayaan menerajui BN dan Umno Negeri Selangor dan menjadi tugas untuk membawa balik Selangor ke tangan BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul 2008 Peringkat Kebangsaan di Stadium Putra Bukit Jalil di ibunegara hari ini.

Menurut Bernama, Ini merupakan kali ketiga Muhd Taib memegang jawatan tersebut. Kali pertama ialah semasa beliau menjadi menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997 dan kemudian kembali memegang jawatan itu ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Abu Hassan Omar dalam tahun 2000.

Sokongan semua pihak

Bagaimanapun, beliau memberi laluan kepada Dr Mohd Khir yang dilantik sebagai Menteri Besar untuk mengambil alih jawatan itu dan terus memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi.

Muhd Taib berkata walaupun sedar tentang tugas yang menantinya, namun beliau yakin dapat melakukannya (menawan semula Selangor) dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

"Insya-Alah dengan sokongan semua pihak, kita akan dapat mengambil semula Selangor daripada tangan pakatan pembangkang," katanya.

Untuk itu, katanya, beliau akan terlebih dahulu berbincang dengan rakan-rakan lain dalam parti komponen BN.

Semalam Dr Mohamad Khir melepaskan jawatan pengerusi Umno dan BN Selangor sebagai memikul tanggungjawab di atas kegagalan BN Selangor membentuk kerajaan negeri di Selangor.

Pada pilihan raya itu, BN hanya memenangi 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan manakala selebihnya dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP.